Honda Civic 2025 facelift pasaran US dapat varian hibrid, 200 hp!

95

Masih ingatkah anda dengan model Civic RS Prototype yang muncul di Tokyo Auto Salon (2024) awal tahun yang lalu?

 

Ucapkan selamat datang kepada Honda Civic 2025 facelift, di mana model segmen C (sedan dan hatchback) ini telah diberikan kemaskini penampilan yang hampir serupa untuk pasaran Amerika Syarikat.



Buat pertama kalinya dalam tempoh sedekad, Honda Amerika Syarikat mengembalikan semula opsyen rangkaian kuasa hibrid untuk Civic.

Dengan enjin 2.0 liter yang dipadankan dengan dua motor elektrik, Civic Hybrid 2025 (varian Sport Hybrid & Sport Touring Hybrid) dikatakan mampu menghasilkan kuasa setinggi 200 hp dan 315 Nm, jauh lebih bertenaga berbanding Civic e:HEV pasaran Eropah.

Ia juga merupakan Civic standard yang paling berkuasa boleh dibeli secara rasmi selain daripada varian Type R yang lebih gagah perkasa itu.

Pembeli Civic juga masih lagi boleh mendapatkan pilihan enjin 1.5 liter turbo untuk varian Civic Si, atau enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi dengan kuasa 158 hp dan 187 Nm untuk varian LX dan Sport. 

Sayang sekali, tiada peluang untuk pembeli Civic mendapatkan model tersebut dengan pilihan transmisi manual, memandangkan kesemua varian dilengkapi dengan kotak gear CVT.

Antara perubahan lain termasuklah unit lampu belakang yang lebih gelap untuk model sedan, rim 18 inci, serta empat kemasan luaran baharu.

Untuk ruang kabin pula tidak banyak perubahan dibawakan melainkan penambahan slot pengecasan USB-C, sementara varian Sport Touring Hybrid pula mendapat skrin infohibur 9 inci yang lebih besar, lengkap dengan aplikasi Google terbina, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan juga Android Auto.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here