“Kemalangan ketika hantar anak daftar universiti, syukur ada insan mulia pinjamkan kereta,” ibu pelajar

92

Meskipun kesan terkejut kemalangan yang menimpa mereka masih belum hilang, namun sepasang suami isteri tetap berusaha memastikan dapat menghantar anak sulung  mendaftar masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Rabu.

Keputusan itu dibuat Hasnizaa Seman, 42 dan Zaimuddin Hassan, 48, bagi memastikan anaknya Hariz, 19 dapat merasai suasana dihantar belajar ke universiti sama seperti pelajar-pelajar lain.



Musibah menimpa mereka selepas kenderaan dinaiki terlibat kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman dekat Gebeng, Kuantan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila ada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Azli Shah’ yang datang membantu dan menawarkan keretanya untuk dipinjam bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke USIM.

KERETA TERBABAS

Menceritakan kejadian, Hasnizaa berkata, dia, suami dan Hariz serta tiga lagi anak berusia empat hingga 12 tahun dalam perjalanan dari Pasir Puteh, Kelantan menuju ke USIM di Nilai.

“Tapi sebaik sampai di lokasi, Toyota Sienta dipandu suami terbabas melanggar pembahagi jalan.

“Selepas itu kereta terus tidak boleh bergerak. Mujurlah kami semua selamat, tapi Hariz mengalami lebam pada dahi akibat terhantuk pada pendingin hawa kereta manakala anak-anak lain alami pening dan muntah,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, mereka bernasib baik kerana ada beberapa individu berhati mulia datang membantu bukan saja urusan di balai polis, tetapi juga sehingga memberi pinjam kereta.

Katanya, mengikut perancangan awal, mereka mahu meneruskan perjalanan ke USIM dengan menaiki bas saja, namun terlewat sampai kerana urusan yang agak lama di balai polis.

“Tanpa berfikir panjang, lelaki yang membantu menghantar kami ke Terminal Kuantan itu telah meminjamkan keretanya bagi membolehkan kami meneruskan perjalanan ke USIM.

“Dia bantu kami seikhlas hati, tanpa minta apa-apa pun dan saya betul-betul tak sangka,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani sempat meluangkan masa melawat Hariz sekeluarga dan pegawai perubatan USIM menjalankan rawatan awal terhadap mereka.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here