Polis tumpas geng curi Honda EX5, tiga pelajar SPM ditahan

185

Polis menumpaskan geng curi Honda EX5 selepas menahan tiga pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam serbuan di Pasir Puteh, pada Sabtu.

Mereka yang berusia 17 tahun itu ditahan atas kesalahan mencuri motosikal di daerah Pasir Puteh, Kelantan dan Besut, Terengganu.



Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes curi motosikal bermula Disember 2023 hingga Januari ini dengan menyasarkan Honda EX5.

“Modus operandi yang digunakan dengan mencuri motosikal yang ditinggalkan di kawasan sawah padi sebelum dileraikan dan mengambil komponen untuk diniagakan.

“Tangkapan yang dijalankan juga telah membawa kepada rampasan empat rangka motosikal yang dijumpai di dalam anak sungai di Pasir Puteh,” katanya semalam.

Tambah beliau, hasil semakan yang dijalankan terhadap rangka yang dijumpai mendapati kesemuanya masih dilaporkan hilang.

“Hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga remaja tersebut didapati negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” jelasnya. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here