Pemilik stesen minyak tak mengaku jual diesel bersubsidi lebih had kepada bas Singapura

183

Pemilik sebuah stesen minyak di Johor Bahru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua tuduhan menjual diesel bersubsidi sebanyak 500 liter bernilai RM1,175 kepada bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura, tahun lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Soraya Md Tamyes, 38, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan itu dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Kredit Foto : Berita Harian

Mengikut pertuduhan pertama, Soraya selaku pemegang lesen runcit didapati gagal mematuhi arahan larangan dan kawalan penjualan petrol dan diesel yang hanya membenarkan penjualan diesel tidak lebih daripada 20 liter dengan sekali transaksi sahaja dalam sehari kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing termasuk motosikal.



Namun dalam dua pertuduhan itu, OKS menjual diesel sebanyak 250 liter kepada bas bernombor pendaftaran asing.

Kesalahan itu dilakukan pada 19 Mei tahun lalu pada jam 11.04 pagi di sebuah stesen minyak dekat Jalan Kempas Baru. 

Bagi pertuduhan kedua, Soraya didakwa atas kesalahan sama dengan jumlah penjualan diesel yang sama ke atas kenderaan yang sama pada 30 Mei tahun lalu, jam 10.34 pagi di stesen sama.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri, manakala OKS belum diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 28 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here