
Kerajaan MADANI memutuskan untuk menambah baik subsidi bil elektrik daripada 600kWj kepada 800kWj sebulan berkuat kuasa September hingga 31 Disember 2026.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini.
“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa,” ujarnya menerusi kenyataan di akaun Facebook rasmi.
Beliau menyampaikan penghargaan khusus kepada pihak TNB, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan dalam memungkinkan langkah berkenaan diambil dalam kadar segera.
“Justeru itu, Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara,” jelasnya.
































