Seorang wanita (perakam) menegur seorang lelaki mengisi minyak RON 95 pada Honda Odyssey dengan nombor plat Singapura.
Kejadian tersebut berlaku di sebuah stesen minyak di Johor Bahru pada 25 Mac lalu. Video yang dikongsi di Facebook, SG Road Vigilante tersebut menunjukkan lelaki berkenaan mengakui rakyat Malaysia namun menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.
“Tak boleh ke (isi petrol RON95)?,” soal lelaki tersebut.
“Tidak boleh,” jawab si perakam.
“Walaupun saya rakyat Malaysia juga, tak boleh eh?,” balas lelaki itu lagi.
“Tidak. Tidak kira jika awak rakyat Malaysia atau sebaliknya tetapi awak guna kereta Singapura. Jika awak rakyat Malaysia sepatutnya tahu,” tegas wanita itu.
Seolah tidak berpuas hati dengan teguran tersebut, lelaki berkenaan turut memberitahu pernah mengisi petrol subsidi tersebut di Melaka dan Kuala Lumpur tanpa sebarang masalah.
Perkongsian itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen kedua-dua negara. Ada dalam kalangan rakyat Singapura yang menganggap tindakan lelaki itu adalah adil mengambilkira rakyat Malaysia yang memonopoli ekonomi gig di negara jiran.
Namun, majoriti rakyat Malaysia mengecam tindakan lelaki berkenaan dan kawalan penguatkuasaan yang lemah.
“Ni la masalah di Malaysia, implimentation pandai tapi kawalan dari pihak berkuasa tak ada, harap orang ramai saja la yang marah… lagi la mereka buat.”
“Kalau rakyat Malaysia, guna la kereta yang didaftar di Malaysia, kalau berlagak nak pakai kereta luar, ikut undang-undang negara ini.”