Tangki minyak 3/4 tak penuh, kereta Singapura diarah patah balik elak isi minyak di JB

6246

Susulan pembukaan sempadan negara bermula 1 April lalu, rakyat Singapura yang masuk ke Malaysia perlu mematuhi undang-undang 3/4 tangki minyak yang dikuatkuasakan kerajaan negara jiran itu. 

Dilaporkan sebanyak 55 kenderaan diarahkan berpatah balik di pusat pemeriksaan Singapura pada Ahad lalu akibat gagal mematuhi peraturan Akta Kastam 1960 Singapura iaitu memiliki jumlah minimum bahan bakar. 



Menurut pihak kastam Singapura, pemandu yang tidak mematuhi peraturan tersebut akan didenda dolar Singapura 500 (RM1,554) atau didakwa di mahkamah. 

Tindakan lebih ringan adalah mengarahkan pemandu membuat pusingan U di pusat pemeriksaan sekiranya ditangkap melakukan kesalahan tersebut. 

Di samping itu, sekiranya indikator minyak diubah pemandu boleh didakwa di mahkamah kerana melakukan pengubahsuaian secara tidak sah. 

HADKAN RAKYAT SINGAPURA ISI MINYAK DI MALAYSIA

Peraturan 3/4 minyak itu bagi mengehadkan kenderaan Singapura mengisi bahan bakar di Malaysia. Tetapi tindakan itu tidak menghalang rakyat mereka melakukan sedemikian.

Menurut laporan Min Daily News, dianggarkan 500 kenderaan pendaftaran Singapura mengisi petrol di stesen minyak popular Johor Bahru dalam masa sehari (2 April).

Manakala pada 3 April kira-kira 300 kenderaan berdaftar Singapura mengisi minyak di stesen tersebut. Jumlah itu jauh lebih rendah, mungkin kerana hujan.

TULAR ISI RON 95

Sementara itu, semalam tular di media sosial beberapa keping imej yang menunjukkan kenderaan Singapura menggunakan RON 95 (petrol bersubsidi).  Tindakan itu mengundang marah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun memberi keuntungan kepada rakyat Singapura yang memperoleh minyak pada harga jauh lebih murah sedangkan di negara mereka harga petrol mencecah dolar Singapura 3 iaitu hampir RM10 per liter.

Sedangkan mereka hanya perlu membayar dolar Singapura 66 sen (RM2.05) bagi RON 95 dan dolar Singapura 1.26 (RM3.91) bagi RON 97 di Malaysia.

Susulan laporan tersebut, pihak Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Johor Bahru menjalankan pemantauan di stesen minyak sepanjang Lingkaran Dalam, Jalan Tampoi, Senai dan Kulai.

Sebanyak 10 stesen minyak diperiksa bermula 9 malam (4 April) melibatkan pelbagai jenama stesen minyak dan memberi peringatan kepada pekerja agar tidak menjual RON 95 kepada nombor pendaftaran asing. 

“Larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010. Sehubungan itu, KPDNHEP Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang gagal memantau penyalahgunaan RON 95,” katanya.

RESPONS RAKYAT SINGAPURA

Tindakan segelintir pengguna yang mengisi minyak subsidi itu juga mendapat reaksi pelbagai daripada rakyat Singapura.

Ada di antara mereka berharap rakyat Singapura mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia agar tidak menimbulkan kecaman. 

Tindakan eksploitatif rakyat Singapura yang mengambil kesempatan daripada bahan api bersubsidi yang bukannya untuk mereka memberi nama buruk kepada negara.

Selain itu, ada juga yang menganggap tindakan tersebut tidak salah kerana tiada larangan daripada kakitangan stesen minyak selain pengusaha menikmati jualan yang meningkat.  

Mereka juga berhujah bahawa rakyat Singapura yang mengisi petrol murah boleh merangsang ekonomi dengan cara lain, seperti membeli-belah.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here