Aksi ‘Superman’, tiga individu di tahan polis

167

Tiga individu mempamerkan aksi ‘superman’ di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban ditahan polis, malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang dipetik Kosmo Online berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang penunggang yang dikesan melakukan aksi ‘superman’ bermula dari kilometer (KM) 289 sehingga KM 291 lebuh raya berkenaan arah utara pada pukul 1.30 pagi.

Menurutnya, tangkapan penunggang motosikal itu dijalankan di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat lebuh raya itu.



“Tangkapan kedua pula pada pukul 3.44 pagi terhadap dua lelaki yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi bersaing sesama sendiri dan aksi ‘superman’ bermula dari KM294 sehingga KM299 di lebuh raya berkenaan.

“Dua penunggang motosikal itu ditahan di sebuah restoran di Dang wangi, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tiga penunggang motosikal berusia 21 hingga 24 tahun dibawa ke balai polis trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Azman berkata, objektif utama operasi itu adalah untuk membendung dan membanteras kegiatan samseng jalanan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Katanya, pihaknya menahan sekumpulan individu yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan arah selatan pada pukul 3.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat penunggang itu tidak mempunyai lesen memandu dan mengubah suai motosikal.

“Secara keseluruhan sebanyak tujuh motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150 disita selain 30 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Mohd Azman berkata, pihaknya memberi amaran bahawa memandu dan menunggang secara melulu dan berbahaya merupakan satu kesalahan.

“Kita akan terus memburu mana-mana individu yang masih berdegil dan tidak gerun dengan hukuman dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

“Tiada kompromi bagi pesalah mat rempit dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjaga,” tegasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here