Utama Berita Automotif Dua anak Malaysia galas tugas Jurutera Bendalir F1 Mercedes-AMG Petronas

Dua anak Malaysia galas tugas Jurutera Bendalir F1 Mercedes-AMG Petronas

102
Menganalisis bahan api dan minyak pelincir dalam masa yang singkat bagi kereta lumba pasukan Formula Satu (F1) Mercedes-AMG Petronas untuk mendapatkan prestasi optimum antara cabaran utama sebagai Jurutera Bendalir Litar Petronas (PTFE).
 
Itu tugas digalas oleh dua rakyat Malaysia, Wan Mohd Saifullah Wan Saudi dan Emil Johan Bernsten sepanjang tahun ini apabila mereka akan berada di 24 perlumbaan F1 di seluruh dunia bermula di Bahrain pada 2 Mac ini.
 
Wan Mohd Saifullah, 36, dilantik sebagai PTFE pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas sejak Mei tahun lalu manakala Emil, 26 memulakan kerjaya pada Mei 2022.

ANALISIS KIMIA 150 SAMPEL BAHAN API

Wan Mohd Saifullah berkata, beliau dan Emil secara umum ditugaskan untuk melakukan sokongan teknikal dan analisis kimia terhadap kira-kira 150 sampel bahan api serta minyak pelincir yang digunakan kereta lumba F1 Mercedes-AMG Petronas sebelum dan selepas setiap perlumbaan.
 
Analisis itu penting agar mematuhi peraturan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), selain memastikan keputusannya tepat yang dapat menyumbang kepada prestasi enjin kereta lumba F1 pada tahap optimum sekaligus mengurangkan kadar kesilapan yang berlaku pada setiap sesi latihan, kelayakan dan hari perlumbaan.
 
“Sebagai contoh, semasa kereta lumba F1 memanaskan enjinnya sebelum digunakan di litar, saya akan mengambil (analisis) sampel minyak pelincir yang digunakan dan daripada itu saya dapat tahu berapa kandungan logam tertentu yang ada dalamnya.
 
“Jika keputusan analisis lambat dan mendapati ada berlaku kerosakan, pasukan jurutera lain tidak dapat menukar ganti barang-barang yang rosak  dengan secukup masa, dan jika ini berlaku akan menjejaskan kereta lumba F1 dalam keadaan terbaik pada hari perlumbaan,” katanya.
 
Wan Mohd Saifullah berkata, setiap kali perlumbaan beliau perlu menjalankan analisis utama yang melibatkan bahan api Petronas Primax, minyak pelincir Petronas Syntium, minyak pelincir transmisi Petronas Tutela dan minyak hidraulik Petronas Tutela.
 
Selain itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Kelantan itu turut menganalisis serta mengurus minyak pelincir dan bahan api bagi pasukan F1 lain yang menggunakan enjin Mercedes seperti pasukan F1 McLaren, Aston Martin dan Williams.

PENGALAMAN DI LITAR

“Walaupun perlu menyediakan keputusan analisis dengan cepat dan tepat, dengan disiplin berpasukan dan perancangan yang teliti, apa jua cabaran yang ditempuhi berjaya ditangani sekali gus menghasilkan keputusan yang positif kepada pasukan,” katanya.
 
Sementara itu, Emil menyifatkan berada dan bekerjasama dalam pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas adalah sesuatu yang menakjubkan dan ia adalah peluang yang hanya datang sekali dalam seumur hidup.
 
“Sememangnya peluang yang seronok untuk saya bekerja dalam dunia kereta lumba F1. Saya bukan sahaja dapat belajar secara teknikal melalui pengalaman yang diperoleh di litar, tetapi juga teruja menjadi sebahagian dan melihat bagaimana budaya pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas beroperasi.
 
“Mereka sentiasa bersama berusaha untuk cemerlang dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya.
 
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International (PLI), Hezlinn Idris berkata,Petronas telah menjalankan kerjasama teknikal dengan F1 Mercedes-AMG sejak 2010 dan telah berjaya menggondol lapan kejuaraan berturut-turut bagi kategori pengeluar.
 
Beliau berkata, sebelum Wan Mohd Saifullah dan Emil, tiga rakyat Malaysia telah melibatkan diri dengan pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas bermula dengan Ahmad Nasri Shafie pada 2018, En De Liow (2020) dan Dr Safwan Hanis (2022).
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here