53,370 tiket bas ekspres ke Kelantan habis dalam 2-jam

88

Sebanyak 53,370 tiket bas ekspres Konsortium E-Mutiara bagi perjalanan pulang ke Kelantan sempena Aidilfitri habis terjual dalam tempoh dua jam.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, berkata sambutan diterima amat menggalakkan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya.



“Tiket bas untuk pulang ke Kelantan dalam tempoh enam hari bermula 4 hingga 9 April sudah habis terjual dalam tempoh dua jam sahaja selepas jualan tiket dibuka.

“Alhamdulillah sebanyak 1,186 trip perjalanan pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri dan Konsortium E-Mutiara mempunyai 70 buah bas ekspres.

“Kita menjangkakan akan menambah satu atau dua buah bas untuk perjalanan Kuala Lumpur ke Kelantan dalam masa terdekat,” katanya.

TIKET BAS EKSEKUTIF NAIK 42 PERATUS

Sementara itu, pengusaha bas ekspres di Pantai Timur juga dijangka menaikkan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus iaitu dari RM44 kepada RM75 dalam masa terdekat akibat peningkatan kos.

“Kos yang semakin meningkat termasuk alat ganti dan harga bas yang semakin mahal menyebabkan pengusaha bas sudah tidak mampu menampung kos operasi dan kami sepakat untuk menaikkan tambang kepada harga yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Bagi bas ekonomi untuk perjalanan Kelantan ke Kuala Lumpur, harga yang akan dikenakan RM44 berbanding kini RM35, manakala tiket bas eksekutif akan dikenakan RM75 berbanding RM44,” katanya.

Perkara itu diputuskan menerusi perbincangan melibatkan pengusaha bas di Pantai Timur berikutan kos yang semakin meningkat dan negeri lain pula sudah lama menaikkan harga.

Bas eksekutif bermaksud bas yang mempunyai kerusi 2+1 di setiap barisan, manakala bas ekonomi pula melibatkan kerusi 2+2 di setiap barisan.

Selepas berlaku kenaikan berkenaan, harga tiket bas eksekutif atau ekonomi akan selaras di semua negeri berbanding di Pantai Timur buat masa ini lebih murah.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here