Lari daripada polis, Perodua Kancil terbabas rempuh rumah

70

Sebuah Perodua Kancil yang dinaiki tiga lelaki merempuh sebuah rumah ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis di Kampung Kedondong, Pasir Mas, pada Rabu.

Dalam kejadian jam 7.35 malam itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 36 hingga 41 tahun bertindak melarikan diri dengan memecut kereta ke dalam kawasan kampung dan terbabas di tepi jalan setelah melalui laluan selekoh.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, anggota tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan pentadbiran Balai Polis Meranti melihat sebuah kereta dinaiki tiga lelaki berhenti di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.



“Menyedari kehadiran polis, pemandu bertindak melarikan diri dengan memecut kereta tersebut ke dalam kawasan kampung.

“Bagaimanapun kereta suspek didapati terbabas di tepi jalan dan merempuh sebuah rumah setelah melalui laluan selekoh,” katanya.

Menurut beliau, salah seorang suspek kemudian melarikan diri namun berjaya ditahan di kawasan semak berhampiran.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan selepas dipercayai menghalang pihak polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Meranti.

Kama Azural memberitahu, hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Mereka direman selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau menegaskan kepada orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas.

Menurutnya, tindakan mengelak atau melarikan diri daripada diperiksa oleh pihak polis boleh mendatangkan kecurigaan kepada pemandu kenderaan dan perbuatan itu juga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here