Pemandu peribadi didakwa pecahkan cermin kereta bekas isteri

74

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta bekas isterinya, minggu lalu.

Mohd Haiidhir Yussof, 45, didakwa melakukan khianat terhadap cermin depan kereta bekas isterinya, Wan Hafizah Arbee Mohmad Johari, 41, dengan niat menyebabkan kerosakan bernilai RM480.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar menawarkan jaminan RM6,000 berserta syarat tambahan tidak mengganggu pengadu.

Peguam Ishak Mohd Kari merayu jaminan rendah kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu peribadi dengan gaji asas RM1,500 sebulan selain perlu menanggung anak-anaknya bersama bekas isteri.

Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh melakukan khianat berpunca bekas isterinya tidak mengangkat panggilan telefon selain tidak dapat menerima keputusan Mahkamah Syariah bahawa cerai talak tiga dilafazkannya adalah sah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here