Utama Berita Automotif Tiga lelaki mengaku tidak bersalah bakar kereta isteri Cikgu Chandra

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah bakar kereta isteri Cikgu Chandra

18

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan membakar tiga kereta milik isteri aktivis masyarakat, Cikgu Chandra, empat bulan lalu.

Pemandu trak tunda, A Kumaran, 34; pengawal keselamatan, S Kisshen Nair, 30, dan pemandu lori, P Surendran, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sengaja melakukan khianat dengan api ke atas Perodua Bezza dan Viva serta Proton Ertiga milik M Sri Uma Mahesvary, 50 sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM80,000.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Kinrara, Puchong, jam 3 pagi pada 10 Mac.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan mencadangkan semua tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin kerana kes berkenaan sangat serius malah termasuk dalam pertuduhan yang tidak boleh dijamin.

Beliau berkata sekiranya mahkamah menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan, melaporkan diri di balai polis terdekat, dilarang mengganggu saksi terutama mangsa dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Vinesh Segar yang mewakili semua tertuduh merayu anak guam diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Menurutnya, semua tertuduh tidak berisiko melarikan diri kerana sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis sejak awal siasatan dijalankan.

“Mereka merupakan penanggung tunggal keluarga, perlu menyara isteri, anak-anak dan ibu bapa. Kami bersimpati dengan kejadian yang menimpa mangsa namun anak guam tidak mengaku bersalah atas kejadian terbabit,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Daneish Thayalan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Noor Ruzilawati membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan tiga kereta milik Cikgu Chandra dibakar, dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tidak dikenali.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here