
Jenama ZXMoto mungkin kedengaran agak muda usianya berbanding jenama terkemuka yang lain, namun pendatang baharu dari China itu kini sedia untuk berdiri sama tinggi di persada dunia.
Tahun ini sahaja, mereka sudah menggegarkan dunia dengan deretan kemenangan WorldSSP, dan bakal hadir dengan jentera jalanan yang paling berkuasa – setakat ini.
Salah satu daripadanya ialah ZXMoto 820RR-R yang merupakan versi lebih garang berbanding 820RR.
Ia menggunakan casis aluminium dan enjin 3-silinder 819 cc yang sama seperti model 820RR, namun hadir dengan nisbah mampatan lebih tinggi (13.3:1)serta injap titanium berbanding injap keluli.
Hasilnya, ia mampu menghasilkan kuasa setinggi 145 hp dengan garis merah 14,750 rpm.
Beratnya pula sekitar 186 kg, lebih ringan berbanding model 820RR.
Ia juga hadir dengan ciri seperi rim aloi tempa, suspensi KYB boleh laras penuh, brek Brembo M50, sistem quickshifter dua arah, sistem elektronik IMU, sistem pemantauan tekanan tayar dan skrin TFT Android sebesar 6.2 inci.
Selain itu, ZXMoto turut mengumumkan model naked 820R yang dibina menggunakan 820RR sebagai asas, dengan harga yang jauh lebih murah disebabkan penggunaan komponen jenama tempatan.
Di China, 820RR-R dijual pada harga sekitar 62 ribu yuan (RM37 ribu) sementara model naked 820R pula berharga sekitar 41 ribu yuan (RM25 ribu).
Menariknya, pengasas Zhang Xue mengambil pendekatan unik di China di mana jentera daripada siri 820 hanya boleh dibeli oleh penunggang yang mempunyai pengalaman lebih setahun.
Mereka juga akan memberikan ganjaran sebanyak 5,000 yuan (RM2,994) kepada sesiapa yang melaporkan pembeli yang tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk memiliki motosikal ZXMoto tersebut.








