Trak tunda percuma buat anak Kelantan pulang berhari raya

171

Sekumpulan anak muda dari Skuad Perantau, Kuala Krai menawarkan perkhidmatan trak tunda percuma kepada anak Kelantan di perantauan yang pulang berhari raya. 

Perkhidmatan percuma tersebut ditawarkan selama dua hari sehingga ke pagi raya melibatkan sembilan buah trak tunda bermula dari Kuala Krai ke Kota Bharu.



Pengerusi Skuad Perantau, Mohd Zafran Yasoa, 43, berkata, idea itu terhasil apabila mereka melihat keperitan anak-anak perantau yang ingin pulang beraya.

“Awal tahun ini selain persiapan hari raya, kita juga perlu menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

“Kami cuba ringankan beban mereka dengan menawarkan trak tunda percuma jika berlaku kerosakan kenderaan semasa pulang beraya nanti,” katanya.

Menurut beliau, kos trak tunda biasanya mencecah RM450 hingga RM500 sekali perkhidmatan. Jika musim perayaan boleh mencecah sehingga RM900 kerana faktor kesesakan lalu lintas.

Mohd Zafran yang dikenali sebagai Zeck Zoro, pernah berbuat demikian secara individu pada 2019. 

Kali ini beliau bersama rakan-rakan trak tunda yang berusia 20 hingga 45 tahun bergabung untuk melakukan kerja amal tersebut.

“Hasrat kami ialah untuk memastikan perantau selamat sampai ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan hari raya bersama keluarga.

“Khidmat percuma ini akan bermula di Sungai Sam sehinggalah ke Kota Bharu,” katanya.

Perantau yang inginkan pertolongan bagi kawasan Kuala Krai boleh menghubungi talian 013-4885886 (Zeck Zoro), 011-25665228 (AF Towing), 011-12730366 (Pok Chek), 013-9060779 (Anak Pehi), 013-7073785 (Jembal Dua).

Bagi kawasan Machang boleh menghubungi 019-9379957 (Abe Yie Labok) dan Kota Bharu, 011-11009542 (Uda).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here