#TahukahAnda : Gula dalam tangki minyak boleh rosakkan enjin, hanya MITOS!

934

Dalam kes vandalisme, bukan perkara luar biasa bagi pelaku memasukkan gula ke dalam tangki bahan api.

Mustahil buat pemilik meletakkan benda asing sehingga boleh merosakkan enjin, tambahan   kereta baharu. Kalau adapun, mungkin pembuat konten yang mengejar jumlah tontonan yang tinggi.

CAMPUR GULA & PETROL



Apa yang akan berlaku jika mencampurkan gula ke dalam tangki minyak?. Adakah bahan putih itu menjadi karamel?.

Apabila mencampurkan gula dengan petrol, sukrosa itu akan mendap pada lantai tangki dan tidak larut. Ini kerana gula dua kali lebih padat dan berat berbanding petrol. 

Sekitar 30 tahun lalu, Profesor Forensik, John Thornton di Universiti California, Berkeley melakukan eksperimen keterlarutan dengan mencampurkan gula dan petrol.

John menggunakan pengempar (alat yang memisahkan bahan ketumpatan berbeza pada putaran yang tinggi per minit) untuk melihat jumlah gula yang larut.

Hasilnya, kurang daripada satu sudu teh gula yang larut bagi setiap 57 liter bahan api, iaitu lebih daripada satu tangki penuh bagi kebanyakan kenderaan.

Beliau juga membuat kesimpulan sekiranya tangki minyak tidak penuh, jumlah gula yang larut akan lebih kecil kerana kurangnya agen pelarut.

ENJIN TERSENGUK

Bagaimanapun, disebabkan gula terkumpul pada dasar tangki maka kuantiti petrol yang boleh ditambah berkurangan.

Selain itu, terlalu banyak gula akan menyumbat penapis dan mengehadkan aliran petrol ke dalam enjin. Ini boleh mengakibatkan kereta terhenti atau ‘tersenguk-senguk’ seolah kehabisan minyak.

Tetapi tiada jaminan gejala tersebut akan berlaku melainkan jika pemandu sering melalui laluan berbonggol. 

CARA KELUARKAN GULA

Sekiranya kerap melalui bonggol jalan, kebarangkalian gula akan memasuki penapis minyak namun dalam jumlah yang sedikit. Dalam kes ini, pemilik perlu kerap menukar komponen penapis sehingga masalah gula hilang. 

Bagi kes yang lebih ‘berat’, misalnya memasukkan satu paket gula, jadi servis mengeluarkan dan membersihkan tangki minyak perlu dilakukan.

Mungkin juga perlu mencuci saluran bahan api dan menggantikan beberapa komponen yang terjejas. Ini jauh lebih murah berbanding mendapatkan enjin baharu.

Di samping itu, salah satu gejala paling biasa yang mungkin dihadapi ialah lonjakan kuasa semasa pecutan.

Butiran gula mungkin menyekat saluran pengambilan bahan api dan menghalang penggunaan bahan api yang menyebabkan pembakaran petrol lewat. 

Satu lagi kesan sampingan biasa ialah kereta tidak dapat dihidupkan akibat terlalu banyak gula dalam tangki sehingga tersumbat.

Percubaan berterusan untuk menghidupkan enjin boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang pada bateri dan penghidup. 

ADAKAH GULA ROSAKKAN ENJIN?

Jadi, adakah gula akan merosakkan enjin?. Ia adalah mitos. Kristal gula dalam ukuran saiz zarah kecil adalah 200 mikron.

Penapis dalam sistem bahan api menangkap zarah jauh lebih kecil daripada itu, jadi butiran gula terampai dalam petrol akan disaring oleh mana-mana satu daripada beberapa penapis sebelum masuk ke dalam enjin.

Waima dalam enjin karburator, yang tidak mempunyai suntikan bahan api atau penapis individu, terdapat kemungkinan gula akan memasuki enjin tetapi tersangat rendah. 

Anda perlu bimbang apabila mencampurkan air ke dalam tangki minyak. Ini akan memberikan kerosakkan serius pada enjin berbanding gula. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here