Maut rempuh trak tunda di lorong kecemasan

827

Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dikatakan merempuh trak tunda yang sedang menunda lori rosak di lorong kecemasan di Kilometer (Km) 265.9 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), berhampiran susur keluar ke Bandar Ainsdale, Seremban.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 33 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 



Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa yang menunggang Yamaha LC135 dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kenderaan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah trak tunda jenis Isuzu dikendalikan seorang lelaki berusia 42 tahun dalam proses menunda sebuah lori rosak di dalam lorong kecemasan di lokasi kejadian.

“Kemudian datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dipercayai dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Bandar Baru Bangi, Selangor, seorang diri dari arah belakang.

“Mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam lorong kecemasan dan melanggar bahagian bucu belakang kanan trak berkenaan,” katanya.

Nanda berkata, akibat kemalangan, mangsa cedera parah di bahagian kaki kanan, muka dan kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here