
Tatkala banyak pasaran menyaksikan peningkatan trend pemilikan SUV dan trak pikap, lain pula yang berlaku di pasaran Eropah.
Ternyata, kereta-kereta hatchback bersaiz kecil masih lagi menjadi pilihan utama tahun lalu yang mana tiga tangga teratas dikuasai oleh model seperti Dacia Sandero, Renault Clio dan Volkswagen Golf.
Menurut kajian daripada Dataforce, Dacia Sandero menjuarai carta jualan di Eropah, dengan jumlah jualan sekitar 270,111 unit atau peningkatan sebanyak 14.3 peratus.
Tempat kedua pula disandang Renault Clio (216,569 unit) dengan peningkatan sebanyak 6.5 peratus, sementara Volkswagen Golf berada di tangga ketiga dengan jualan 216,549 unit (naik 17.5 peratus).
Tidak sukar untuk melihat kenapa Dacia Sandero menjadi pilihan utama dalam kalangan rakyat Eropah.
Bergantung kepada pasaran, Dacia Sandero boleh didapati dengan pilihan enjin tiga silinder 1.0 liter aspirasi semula jadi atau enjin turbo.
Sesetengah pasaran pula menawarkan model Sandero ini dengan enjin bahan api gas petrolium cecair (LPG) yang lebih murah berbanding petrol.
Selain itu, model Sandero juga tidak dilengkapi dengan teknologi elektrifikasi bagi memastikan harga jualannya lebih rendah.