
Tidak berhenti di lampu isyarat yang sudah bertukar merah punca dua dilaporkan maut dalam kemalangan di bawah jejambat berhampiran Taman Indah Permai, Sepanggar, Kota Kinabalu, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan tersebut melibatkan lori yang berlanggar dengan motosikal.
“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an bersama penumpang lelaki berusia 17 tahun datang dari arah jalan Tebobon menuju ke arah jalan Sepanggar.
“Siasatan lanjut daripada saksi, memaklumkan pemandu lori yang tiba di lokasi dipercayai melanggar lampu isyarat yang berwarna merah dan melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang remaja lelaki berumur 15 tahun,” katanya.
Jelasnya, perlanggaran berlaku apabila penungang motosikal tersebut bergerak setelah lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
Susulan kejadian itu, lori tersebut terbabas dan melanggar tiang jejambat.
“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas manakala penunggang motosikal pula turut mengalami kecederaan parah,” ujarnya.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.