
Sebuah Nissan Navara yang dipercayai dipandu secara melulu merempuh sebuah motosikal berhampiran plaza tol di Kuala Lumpur, semalam.
Video kejadian berkenaan tular di media sosial dan difahamkan trak pikap berkenaan meneruskan perjalanan selepas melanggar penunggang motosikal bersama pembonceng berkenaan.
Kedua-dua mangsa yang terjatuh di lorong kecemasan itu lalu dibantu pengguna jalan raya yang lain.
Menurut laporan Sinar Harian, menerusi ruangan komen hantaran media sosial pempengaruh Caprice (Ariz Ramli), seorang individu mengesahkan bahawa pembonceng motosikal berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Keadaan mangsa dilaporkan kritikal dan berada dalam zon merah yang mana pihak hospital terpaksa menidurkan mangsa. Suami mangsa pula dilaporkan mengalami patah bahu dan kecederaan pada bahagian kaki.
“Terima kasih Caprice, sahabat saya ni sekarang di Hospital Sungai Buloh, keadaan dia di zon merah, isteri dia ditidurkan. Suami dia pula mengalami patah bahu dan cedera pada bahagian kaki,” jelas individu berkenaan.