Ini strategi BYD, mahu buka ibu pejabat dan pusat R&D di Hungary – 90% graduan pendidikan tinggi

12
Pengerusi BYD, Wang Chuanfu dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orbán.

Satu jenama kenderaan elektrik yang sering diutarakan dan diberi perhatian ialah BYD. Di sebalik perhatian tersebut, menarik untuk diperhatikan strategi yang digunakan.

Di Asia Tenggara misalnya BYD mempunyai dua buah kilang iaitu masing-masing di Thailand dan Indonesia.

Lebih menarik, kedua-dua kilang tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran yang besar sebanyak 150,000 unit setahun di setiap lokasi.

Satu lagi strategi BYD ialah masuk ke pasaran antarabangsa sebanyak mungkin sama ada negara membangun atau maju.

Sebagai rujukan, BYD ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai pengeluar bateri boleh dicas semula.

BYD kini mempunyai skop perniagaan yang pelbagai meliputi automotif, transit rel, tenaga baharu dan elektronik, dengan lebih 30 taman perindustrian di China, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Brazil, Hungary, dan India.

BYD Auto pula ditubuhkan pada tahun 2003 aan merupakan anak syarikat automotif BYD.

Dengan matlamat untuk mempercepatkan transisi hijau sektor pengangkutan global, BYD Auto memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan elektrik sepenuhnya dan hibrid plug-in.

Syarikat ini telah menguasai teknologi teras bagi keseluruhan rantaian industri kenderaan tenaga baharu, seperti bateri, motor elektrik, pengawal elektronik, dan semikonduktor gred automotif.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat telah menyaksikan kemajuan teknologi yang ketara seperti Bateri Blade, teknologi hibrid DM-i, DM-p dan DMO, platform elektrik e-Platform 3.0, teknologi CTB dan iTAC, Sistem Kawalan Badan Pintar DiSus dan Seni Bina XUANJI.

BYD Autoi merupakan pembuat kereta pertama di dunia yang menghentikan pengeluaran kenderaan berbahan bakar fosil dalam peralihan kepada kenderaan elektrik.

Terbaru BYD mengumumkan komitmen untuk menubuhkan ibu pejabat operasi Eropahnya di Budapest, Hungary, yang akan disokong oleh pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serantau yang baharu.

Pengerusi BYD, Wang Chuanfu memperkenalkan kenderaan paling canggih BYD, BYD SEALION 7 kepada Perdana Menteri Hungary, Viktor Orbán.

Menerusi perjanjian ini, BYD akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di ibu negara Hungary, selain menyokong program latihan dan peluang pendidikan lanjutan melalui kerjasama dengan sekurang-kurangnya tiga universiti tempatan.

Ibu pejabat baharu BYD di daerah ke-11 Budapest adalah lokasi kelima mereka di Hungary. Ini melengkapi kilang bas di Komárom, kemudahan lain di Fót dan Páty, serta kilang pemasangan kereta penumpang yang akan datang di Szeged.

Jelas bahawa Hungary merupakan lokasi penting untuk BYD dan bagaimana syarikat sudah bertapak termasuk mempunyai kilang bas.

Bahagian R&D dalam komitmen ini akan dimulakan dengan dua projek khusus, yang didanai dengan pelaburan yang besar.

Projek pertama akan memfokuskan pada integrasi kecerdasan yang lebih mendalam ke dalam mobiliti moden, manakala projek kedua akan membantu membangunkan teknologi elektrifikasi generasi seterusnya yang lebih canggih.

Sebagai manifestasi dasar penyetempatan BYD di Eropah, syarikat telah komited untuk mempatenkan hasil pembangunan di pusat Hungary, serta bekerjasama dengan syarikat pemula tempatan dan pembekal domestik.

Dijangkakan sekurang-kurangnya 90 peratus pekerja di pusat R&D ini terdiri daripada graduan pendidikan tinggi.

Pengerusi BYD, Wang Chuanfu menekankan bahawa ibu pejabat Eropah di Hungary adalah langkah strategik untuk pusat jualan, ujian, dan reka bentuk tempatan bagi mengembangkan BYD di Eropah.

“Penubuhan ibu pejabat Eropah BYD di Hungary adalah langkah evolusi yang wajar. Sebagai hab utama operasi BYD di Eropah, ibu pejabat ini akan menumpukan pada tiga fungsi teras: perkhidmatan jualan dan selepas jualan, pensijilan dan pengujian kenderaan, serta reka bentuk kenderaan dan pembangunan ciri yang disesuaikan untuk pasaran tempatan. Melalui sinergi ini, kami berhasrat untuk memperkukuh integrasi dengan pasaran tempatan, meningkatkan keupayaan pelokalan dan pengaruh jenama kami, serta memastikan pertumbuhan yang mampan di Eropah.” kata Wang Chuanfu.

Perdana Menteri Hungary Viktor Orbán juga menjelaskan satu strategi yang menarik dari negara beliau.

“Matlamat kami adalah agar pelabur asing membawa kapasiti pembangunan ke Hungary. Bukan sahaja aktiviti pembuatan, tetapi juga kapasiti pembangunan. Visi kami sentiasa bahawa kilang-kilang akan hadir terlebih dahulu, diikuti oleh pusat pembangunan kilang-kilang tersebut, dan akhirnya pusat penyelidikan. Ia tidak berfungsi sebaliknya. Pertama pengeluaran, kemudian pembangunan, dan seterusnya penyelidikan. Justeru, pertemuan dan perjanjian hari ini amat signifikan, kerana kini BYD membuka lembaran baharu – syarikat ini turut membawa pusat pembangunannya ke Hungary.” kata Viktor Orbán

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here