Guna Vellfire abang ipar buat kerja ulat di KLIA

29

Aktiviti kereta sewa haram atau ‘ulat’ yang dijalankan oleh seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 menggunakan Toyota Vellfire milik abang iparnya, akhirnya menjerat diri selepas ditahan pada Selasa.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki itu ditahan kira-kira jam 4.25 petang hasil intipan dan pemantauan pasukan Stesen Penguat Kuasa KLIA.

Menurutnya, siasatan awal mendapati individu itu memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada enam orang penumpang warga India dari Terminal 1 ke Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM220, yang akan dibayar apabila tiba di destinasi.

“Susulan itu, JPJ menyita Toyota Vellfire berkenaan yang merupakan milik abang ipar pemandu tersebut.

“Dipercayai lelaki berusia 32 tahun itu telah aktif menjalankan kegiatan ‘ulat’ sejak dua tahun lalu,” katanya pada Jumaat.

Tambahnya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta yang sama.

Tambah Azrin, orang awam dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah, sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal KLIA, atau dengan membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkannya ke emel aduantrafik@jpj.gov.my atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ, beserta butiran pengadu dan maklumat aduan,” jelasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here