Pemilik lega lepaskan Toyota Vellfire, jimat RM5k bulanan

598
Seorang pemuda menganggap membeli sebuah Toyota Vellfire bukanlah kejayaan  melainkan satu bebanan dalam kehidupan. 
 
Pengalaman itu dikongsi oleh pemilik akaun Facebook Azmeer Yusof yang melepaskan MPV mewah itu selepas memikirkan tujuan dirinya menyimpan kenderaan yang bakal menjadi besi buruk pada masa depan. 
 
“Di mata orang terlihat saya berjaya. Di mata sendiri hanya Allah sahaja yang tahu betapa saya menjadi hamba kerja untuk menampung bulanan kereta ini.
 
“Saya mengambil keputusan menjual kereta ini. Ternyata keputusan saya tepat kerana saya dapat berjimat hampir RM5,000 sebulan. Kini hidup saya tenang tanpa hutang,” jelasnya.
 
Mengimbau kembali pemilikan Vellfire itu, Azmeer berkongsi membayar RM65,000 merangkumi wang pendahuluan sebanyak RM50,000, nombor plat (RM10,000) dan pemasangan kit badan serta lain-lainya yang bernilai RM5,000. 
 
“RM65,000 yang saya sangkakan sebagai satu kejayaan. RM65,000 yang saya sangkakan sebagai satu kemajuan dalam karier. Walhal menjadi satu bebanan di dalam kehidupan.
 
“Saya bukan seperti orang lain yang bergerak menggunakan kereta. Kadang kala dalam sebulan tidak sampai 10 kali kereta bergerak. Sifat dan jiwa saya banyak bergerak menggunakan motor. Lagi-lagi pula kini saya tinggal di Kuala Lumpur,” tulisnya.
 
Bahkan, pemuda itu juga menjelaskan dia perlu membayar bulanan RM3,300 di samping memperbaharui cukai jalan dan insurans bernilai RM10,000.
 
Tambahnya, bukanlah satu kesalahan memiliki kenderaan mewah.
 
“Yang salahnya apabila kita terpaksa bekerja keras hingga tidak dapat ketenangan dalam kehidupan demi untuk membayar sebuah besi yang akan menjadi buruk satu hari nanti,” jelasnya.
 



APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here