
Proton mengumumkan pelantikan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa 10 Jun ini menggantikan peranan Roslan Abdullah.
Roslan Abdullah telah berkhidmat selama lima tahun sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif yang mana membantu Proton mengukuhkan kedudukannya di Malaysia dan memasuki pasaran EV dengan produk pertamanya, Proton e.MAS 7.
Ainol Azmil yang akan menggantikan posisi tersebut akan melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong dan pada masa sama beliau akan terus menjalankan portfolio sedia ada dalam Strategi Korporat dan Perolehan Teknikal Kumpulan.
“Proton mengalu-alukan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif. Kami yakin dengan kemampuannya untuk mengambil alih jawatan sementara ini.
“Pada masa yang sama, Proton ingin menyampaikan penghargaan tertinggi kepada Roslan Abdullah atas sumbangannya kepada syarikat dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha-usahanya yang akan datang,” kata Dr Li Chunrong.