McLaren 750S Le Mans rai ulang tahun kejayaan Le Mans, 50 sahaja di dunia!

84

McLaren Automotive meraikan ulang tahun ke-30 kejayaan sulung di perlumbaan 24 Jam Le Mans, satu daripada kemenangan yang melengkapkan pencapaian ‘Tiga Mahkota’ (Triple Crown – Le Mans, Indianapolis, Monaco) mereka yang unik.

Bukan sekadar meraikan, tetapi juga sebagai tanda kembalinya McLaren ke kelas teratas acara ikonik ini bermula 2027.

Untuk memperingati detik gemilang ini, lahirlah McLaren 750S Le Mans edisi khas iaitu sebuah kereta super yang dijangka menjadi buruan ramai dengan hanya 50 unit sahaja akan dibina!

Sebagai imbasan, pada 18 Jun 1995, McLaren F1 GTR #59, yang dipandu oleh JJ Lehto, Yannick Dalmas, dan Masanori Sekiya, berjaya menjuarai perlumbaan Le Mans yang penuh mencabar.

Lebih membanggakan, tiga lagi McLaren F1 GTR turut berjaya menduduki lima kedudukan teratas. Menariknya, menjelang ulang tahun ke-30, dua jentera McLaren GT3 EVO berasaskan 750S akan bersaing untuk merebut gelaran LMGT3 pada edisi perlumbaan ketahanan tahun ini.

Penghormatan kepada Lagenda #59 F1 GTR

McLaren 750S Le Mans direka khas sebagai penghormatan kepada F1 GTR #59 yang ikonik.

Ia tampil dengan warna luaran Le Mans Grey yang sepadan, selain McLaren Orange yang turut ditawarkan. Ciri-ciri lain yang menyamai kereta legenda itu termasuk corong bumbung dan rim LM 5-jejari yang menawan.

Selain itu, model istimewa ini juga dilengkapi dengan MSO High Downforce Kit (HDK) baharu. Kit ini bukan sahaja menambah elemen visual yang dramatik pada 750S, tetapi juga meningkatkan prestasi.

Ia menampilkan Spoiler Belakang Aktif gentian karbon yang dinaikkan dengan plat hujung bersepadu.

Bersama dengan bampar hadapan yang diperbesarkan dengan pemisah gentian karbon, dan sayap belakang, daya mendap (downforce) meningkat sebanyak 10 peratus berbanding 750S standard.

Pakej ini menyumbang kepada peningkatan prestasi di litar dan mengimbas kembali penambahan aerodinamik pada edisi McLaren F1 LM yang popular.

Melengkapkan pakej HDK adalah panel bawah sayap gentian karbon berwarna badan yang baharu dengan liang hitam berkilat.

Sentuhan Khas untuk Dalaman dan Luaran

Para pembeli McLaren 750S Le Mans akan disajikan dengan pilihan gabungan warna dalaman Carbon Black dengan Dove Grey atau Carbon Black dengan McLaren Orange.

Kedua-dua pilihan ini dilengkapi dengan logo Le Mans dan plak dedikasi khas. Setiap unit juga akan hadir dengan pelbagai ciri unik sebagai standard:

Ciri-ciri Luaran:

  • Pilihan dua warna luaran: Le Mans Grey atau McLaren Orange.
  • High Downforce Kit (HDK) dengan kemasan Hitam Kilat: Bampar hadapan dengan Pemisah Gentian Karbon besar, Spoiler Belakang Aktif Gentian Karbon dan Panel Bawah Sayap Gentian Karbon Berwarna Badan dan Berliang.
  • Rim 5-jejari Le Mans dengan kemasan Stealth dan logo Le Mans.
  • Angkup Brek Warna Khas Emas F1 dengan logo McLaren merah.
  • Penutup Hab Roda dengan perincian warna biru/merah.
  • Corong Bumbung Gentian Karbon Hitam Kilat.
  • Fender Hadapan Gentian Karbon dengan Liang Hitam Kilat.
  • Perincian luaran Hitam Kilat.
  • Kemasan Ekzos Titanium Asli.
  • Logo luaran Le Mans yang dicat.

Ciri-ciri Dalaman:

  • Pilihan dua tema dalaman Le Mans: Carbon Black Alcantara dengan Jet Black Softgrain Leather dan Dove Grey Alcantara, atau Carbon Black Alcantara dengan Jet Black Softgrain Leather dan McLaren Orange Alcantara.
  • Logo Le Mans timbul pada sandaran kepala.
  • Alas lantai dengan logo Le Mans.
  • Plak dedikasi Le Mans yang ditempah khas.

Pilihan Eksklusif dan Prestasi Unggul

Bagi pelanggan 750S Le Mans, terdapat juga beberapa pilihan tambahan yang eksklusif, termasuk:

  • Perincian luaran dalam Gentian Karbon Visual Berkilat, seperti Salur Masuk Udara Bonet, Perumah Cermin Pintu, Salur Masuk Udara Sisi, Salur Masuk Udara Fender Belakang dan Plat Hujung Spoiler Belakang Aktif Dinaikkan.
  • HDK Gentian Karbon Visual Berkilat dan pek Bawah Badan, termasuk Pemisah Hadapan, Penyebar Udara Belakang dan Spoiler Belakang Aktif Dinaikkan.
  • Spoiler Belakang Aktif Dinaikkan Gentian Karbon Visual Berkilat sahaja.
  • Pek Liang Gentian Karbon Visual Berkilat termasuk Liang Fender Hadapan dan Liang Panel Bawah Sayap Belakang.
  • Bahagian Luar Corong Bumbung Gentian Karbon Visual Berkilat.
  • Peningkatan Brek Trek yang menggabungkan Angkup Brek Warna Khas Emas F1 dengan logo McLaren merah.

McLaren turut menawarkan plak rekod litar pilihan yang menyenaraikan kemenangan Le Mans 1995, termasuk pencapaian Triple Crown dan kejayaan-kejayaan permotoran McLaren yang lain.

Plak ini dipasang di ruang bagasi hadapan dan tersedia untuk pembeli semua kereta 750S baharu.

Pembeli edisi Le Mans juga akan menikmati prestasi luar biasa 750S, yang dikuasakan enjin McLaren M840T 4.0 liter V8 turbo berkembar berkuasa 750 ps yang dipasang di tengah.

Struktur tengah Monocage II gentian karbon yang diinspirasikan dari sukan permotoran dan sistem suspensi Proactive Chassis Control III membantu dalam memastikan 750S kekal sebagai kereta paling ringan dan tangkas dalam kelasnya.

Prestasi ini diperhebatkan lagi dengan penambahan aerodinamik daripada pakej HDK.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here