Warga emas pesara polis cedera, Myvi dipandu rempuh warung

34

Seorang lelaki warga emas cedera apabila Perodua Myvi yang dipandunya terbabas lalu merempuh sebuah warung di Batu 13, Pantai Belimbing, Durian Tunggal, Alor Gajah pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 petang itu, mangsa berusia 80 tahun dan merupakan pesara polis hanya mengalami bengkak di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu seorang diri sedang dalam perjalanan dari arah Pulau Sebang ke Taman Melaka Perdana.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta yang dipandunya dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebuah warung di tepi jalan.

“Mujurlah tiada sesiapa berada di warung itu ketika kejadian dan warga emas berkenaan hanya mengalami bengkak pada kepala,” katanya.

Mangsa yang tinggal di Taman Dahlia, Bukit Beruang, Ayer Keroh telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here