Toyota Prius baharu – Rekaan gaya coupé dan bagaimana Toyota guna konsep kelahiran semula hibrid

13

Toyota Prius, model yang memperkenalkan teknologi hibrid kepada pasaran massa, kini muncul dengan wajah baharu yang menarik perhatian.

Dikenali sebagai perintis kecekapan automotif selama lebih 25 tahun, Prius dilahirkan semula dengan reka bentuk yang diinspirasikan gaya coupé, menjadikannya salah satu model paling menonjol dalam rangkaian Toyota.

Secara tradisi, Prius dipuji kerana kecekapan dan kebolehpercayaan, tetapi jarang sekali kerana penampilan. Namun, perubahan terbaru membawa Prius ke dimensi baharu.

Dari sedan bulat yang unik kepada hatchback bersudut yang biasa, model terbaharu dipuji kerana penampilannya yang menarik.

Pengiktirafan ini terbukti apabila Prius dianugerahkan World Car Design of the Year pada tahun 2024 dan memenangi anugerah hibrid plug-in terbaik dari TopGear, yang menggelarnya sebagai “the best redesign we’ve ever seen”.

Ini menandakan anjakan besar dalam persepsi awam terhadap estetika Prius.

Inovasi Reka Bentuk dan Prestasi

Di sebalik penampilan yang menarik, Prius mengekalkan reputasi utamanya dalam prestasi yang sangat cekap.

Prius digerakkan sistem hibrid plug-in generasi baharu (pasaran tertentu, ada juga hibrid biasa) yang lebih ringan, padat, dan efisien.

Sistem ini membolehkan Prius mencapai jarak pandu elektrik sehingga 85 kilometer (km), dengan pemanduan EV sebagai mod asas.

Pembangunan reka bentuk generasi kelima bermula dengan visi untuk memecahkan tradisi sedia ada.

Walaupun bentuk baji Prius yang menjadi ciri khas dikekalkan, ia kini menampilkan siluet lebih langsing dan sporti dengan bumbung lebih rendah dan jarak roda lebih panjang, meskipun panjang keseluruhan kereta telah dipendekkan.

Tumpuan pada reka bentuk luaran adalah untuk mencapai rupa yang lebih ringkas dan bersih, mengelakkan garisan yang tidak perlu dan mencipta peralihan yang harmoni.

Matlamatnya adalah untuk membuat kereta yang seronok untuk dilihat dan seronok untuk dipandu.

Yuji Fujiwara, ketua pereka Prius, menyatakan bahawa moto pasukan mereka, “Hybrid Reborn”, bertujuan untuk mencipta reka bentuk yang menakjubkan, sesuatu yang tidak dapat diukur atau dirasionalkan.

Untuk bahagian dalaman pula, pereka Tsuyosho Oba mahu mencipta “keterujaan sebaik sahaja anda membuka pintu”. Beliau menggunakan kaedah cuba-dan-ralat bersama pereka muda untuk mencapai hasil yang dimahukan.

Pilihan warna juga penting. Prius tampil dengan dua kemasan luaran baharu iaitu Mustard metallic yellow yang menarik perhatian, dan Ash, kelabu dengan kilauan mika.

Kedua-dua warna ini direka khas untuk menyerlahkan reka bentuk baharunya.

Praktikaliti dan Pengendalian Unggul

Toyota Prius bukan sahaja menarik dari segi reka bentuk, tetapi juga menawarkan praktikaliti harian dan prestasi mesra poket.

Sebagai elemen penting dalam pendekatan pelbagai laluan (multi-pathways) Toyota ke arah neutraliti karbon, teknologi hibrid plug-in ini menawarkan kepada pelanggan kaedah untuk mengurangkan jejak karbon secara bermakna dan mampan.

Ia memenuhi keperluan peribadi pengguna dan akses mereka kepada infrastruktur kenderaan elektrik.

Dari segi prestasi dan pengendalian, Prius baharu mencerminkan penampilan sporti yanng dibawa.

Dengan output sistem 220 bhp (223 DIN hp/164kW), Prius mampu memecut dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam hanya 6.8 saat.

Platform Toyota New Global Architecture (TNGA) juga menjadikan Prius baharu terbaik dari segi pengendalian setakat ini.

Ciri-ciri seperti pusat graviti rendah, ketegaran badan yang tinggi,dan sistem suspensi yang ditala untuk keseimbangan, keselesaan dan ketenangan menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Pakej ini disokong oleh reputasi Toyota yang kukuh dalam kualiti, ketahanan (durability), dan kebolehpercayaan (reliability), menjadikan Prius sangat menarik di pasaran.

Prius melangkaui peranan tradisionalnya sebagai model yang dipercayai dan berkemampuan dalam segmen sewa persendirian (private hire).

Dengan gabungan reka bentuk yang menawan, kecekapan yang tiada tandingan dan pengendalian yang dipertingkatkan, Toyota Prius generasi baharu ini benar-benar telah “reborn”.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here