Jika tiada penangguhan, kadar tol akan naik hingga 83 peratus

86
Foto: Bernama

Pengguna lebuh raya akan mengalami kadar kenaikan sebanyak 79 hingga 83 peratus bagi kenderaan kelas 1 sekiranya kadar tol bagi 10 lebuh raya di negara ini tidak ditangguhkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia kerana kadar tol bagi 10 lebuh raya dijadual akan mengalami kenaikan tahun ini seperti ditetapkan dalam jadual kadar tol perjanjian konsesi yang dimeterai.

Jelasnya, sekiranya penangguhan itu tidak dilaksanakan, pengguna lebuh raya yang menggunakan 10 lebuh raya itu akan merasai kesan signifikan kerana pada masa ini terdapat jurang besar antara kadar tol dikenakan kepada pengguna berbanding kadar tol ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

“Bagaimanapun, demi meringankan beban rakyat terutamanya pengguna lebuh raya, kerajaan Madani atas dasar keprihatinan terhadap kesejahteraan dan kos sara hidup rakyat bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya itu bagi 2025.

“Pelaksanaan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya tersebut membolehkan pengguna terus menikmati kadar tol sedia ada, tanpa sebarang kenaikan dalam masa terdekat,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat. 

Lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Cheras – Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Lebuh raya lain adalah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

Alexander berkata, penangguhan kenaikan kadar tol bagi tahun 2025 untuk 10 lebuh raya itu melibatkan semua kelas kenderaan dari 1 hingga 5 kecuali bagi Lebuhraya LLB yang hanya melibatkan penangguhan kenaikan kadar tol bagi kenderaan kelas 5.

“Ini kerana kadar tol kenderaan kelas 1 hingga kelas 4 di Lebuhraya LLB pun mencapai had kenaikan maksimum seperti mana yang ditetapkan di dalam perjanjian konsesi,” katanya.

Alexander berkata kerajaan perlu menanggung kos pampasan sekitar RM568.92 juta setahun kepada syarikat konsesi lebuh raya akibat penangguhan itu. 

“Penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya ini juga akan memberi manfaat kepada 941,000 pengguna yang menggunakannya,” ujarnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here