
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) komited membanteras kegiatan ‘prebet sapu’ warga asing yang berleluasa di ibu kota menerusi operasi penguatkuasaan bersasar.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata susulan aduan awam diterima, pihaknya telah melaksanakan operasi penguatkuasaan khas pada 15 Julai lalu bagi membanteras aktiviti haram berkenaan.
Menurutnya, operasi dijalankan susulan insiden pada 13 Julai lalu di kawasan sebuah kedutaan di Jalan Ampang apabila pasukan penguatkuasa JPJ digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan serta tindakan lanjut.
Hamidi berkata, selain operasi khas itu, pihaknya turut menjalankan beberapa operasi bersasar sejak awal tahun lalu termasuk Ops Transporter dan Ops PEWA (Pemandu Warga Asing).
Katanya, Ops Transporter memberi tumpuan kepada lokasi awam sekitar ibu kota seperti LRT Taman Melati, Wangsa Walk Mall, Setapak Central dan KL East Mall yang menyaksikan 23 kereta disita dan 112 notis dikeluarkan.
“Seramai 10 individu tempatan dan 13 warga asing daripada pelbagai negara termasuk Afghanistan, Somalia, Indonesia, Bangladesh, Yemen dan Mesir disaman serta dikompaun di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Pengangkutan Awam Darat.
“Antara kesalahan dikesan adalah menjalankan aktiviti ‘prebet sapu’, tiada lesen memandu, salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta cermin gelap,” katanya.
Menurutnya, Ops PEWA yang dijalankan sepanjang tahun lalu pula menyaksikan sebanyak 243 saman dikeluarkan dan 101 motosikal serta kereta disita atas pelbagai kesalahan melibatkan pemandu warga asing.
Jelas beliau, tiada kompromi terhadap warga asing terutama pendatang asing tanpa izi (PATI) yang didakwa menjalankan perkhidmatan ‘prebet sapu’ membabitkan rakan senegara di ibu kota.
TIADA ADUAN SPESIFIK LIBAT PATI DENGAN PREBET SAPU
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya sentiasa peka dan memantau isu melibatkan warga asing.
Menurutnya, meskipun tiada aduan spesifik diterima yang mengaitkan kegiatan itu dengan PATI, tindakan tetap akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran syarat pas imigresen.
“JIM tidak berdiam diri dan sentiasa memandang serius kebimbangan masyarakat khususnya apabila melibatkan warga asing.
“Sekiranya ada individu disyaki menyalahgunakan syarat pas yang dimiliki, tangkapan dan siasatan akan diambil serta-merta,” katanya.
Menurutnya, dari segi perundangan, semua warga asing di Malaysia diwajibkan mempunyai dokumen perjalanan serta pas imigresen yang sah termasuk bagi tujuan bekerja.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya siasatan mendapati mereka menyalahgunakan syarat pas yang diberikan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.