
Kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem Speed Limitation Device (SLD) atau peranti had kelajuan tidak akan dibenarkan berada di jalan raya, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Jelasnya, pelaksanaan sistem SLD amat penting dalam usaha mengawal kelajuan kenderaan berat serta mengurangkan risiko kemalangan maut, khususnya melibatkan bas dan lori.
Malah menurutnya, negara seperti Singapura dan beberapa negara di Eropah telah lama mewajibkan penggunaan peranti tersebut.
“Walaupun saya tahu mungkin ada pemain industri yang akan memberikan reaksi balas, termasuk menyatakan kebimbangan mengenai kos tambahan dan sebagainya, namun pelaksanaan SLD adalah untuk menjamin keselamatan jalan raya serta nyawa manusia.
“Saya harap Ahli-ahli Yang Berhormat akan bersama-sama menyokong supaya pelaksanaan ini berjalan lancar dan jika ada sebarang bantahan, kita nyatakan bahawa keselamatan mesti diutamakan melebihi kos dan keuntungan perniagaan,” katanya semasa sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS–Betong) berhubung impak pelaksanaan SLD termasuk kos penguatkuasaan, penyelenggaraan dan kesan sekiranya sistem itu gagal berfungsi.
SLD ialah sistem kawalan kelajuan automatik yang berfungsi mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui Unit Kawalan Elektronik (ECU), selaras dengan matlamat mewujudkan kawalan kelajuan tanpa perlu mematikan enjin, sekali gus tidak menjejaskan keselamatan operasi kenderaan.
Dalam pada itu, Anthony menjelaskan bahawa penguatkuasaan pemasangan SLD bagi semua kenderaan perdagangan akan dilaksanakan secara tiga fasa.
Fasa pertama melibatkan pengesahan kefungsian sistem bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015.
Pelaksanaan ini terpakai kepada semua kenderaan perdagangan iaitu kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500kg dan kenderaan penumpang dengan BDM melebihi 5,000kg serta membawa lebih lapan penumpang.
Fasa kedua pula melibatkan pengaktifan SLD dalam ECU bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Januari 2015, dengan penguatkuasaannya bermula 1 Januari tahun depan.
Fasa ketiga melibatkan pemasangan peranti SLD secara retrofit (dengan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan) bagi kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi sistem berkenaan. Penguatkuasaannya dijadual bermula 1 Julai tahun depan.