
Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan, pemansuhan tol bukanlah langkah yang mudah untuk dilaksanakan walaupun pernah menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya oleh pihak tertentu sebelum ini.
Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jika tol dihapuskan, kerajaan perlu menanggung kos penyelenggaraan yang sangat tinggi, dianggarkan mencecah bilion ringgit.
Memberitahu Dewan Rakyat, beliau berkata, dana untuk menanggung kos penyelenggaran lebuh raya sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk pembangunan di negeri-negeri yang lebih memerlukan.

“Kita berpandangan bukan mudah nak ini kerana kalau tol ini dimansuhkan, kerajaan kena pastikan mencari dana yang besar untuk buat kerja-kerja penyelenggaraan.
“Jadi, untuk tujuan ini memerlukan dana yang besar, berbilion-bilion ringgit. Kalau ia begini, kita boleh bayangkan dana kerajaan ini mungkin boleh digunakan untuk lain seperti di Terengganu, Kelantan, Sarawak, dan Sabah, yang mana mereka tidak menggunakan lebuh raya ini.
“Jadi pandangan saya mungkin kerajaan tengok begini sekarang (dan) kita tak perlu mansuhkan (tol),” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai kesan jika tol dihapuskan seperti mana pernah menjadi manifesto pihak pembangkang ketika itu.
Menjawab lanjut, Alexander (GPS-Kapit) turut mencadangkan agar kadar tol dikaji semula secara berperingkat, terutamanya selepas syarikat konsesi berjaya memperoleh pulangan pelaburan (ROI).
“Cuma kalau tempoh singkat-singkat ini sudah mencapai keuntungan atau ROI mereka (syarikat konsesi), boleh lah masa itu nanti kadar tol yang dikatakan membebankan sekarang, diturunkan… Itu lebih praktikal dan realistik.
“Tetapi untuk menjawab mengapa tidak dimansuhkan, bagi saya ini lah pandangan… mungkin kita tak perlu mansuhkan demi kebaikan seluruh negara,” jelasnya.
ARTIKEL LAIN
https://www.motoqar.com/2019/7721/mansuh-tol-tetapi-rakyat-masih-kena-bayar-pm.html