Sun Bus Tech sasar siap 310 bas Rapid KL di bawah projek CKD

44

Pengeluar badan bas berpangkalan di Johor, Sun Bus Tech Sdn Bhd menyasarkan untuk menyiapkan 310 bas Rapid KL di bawah projek pemasangan tempatan (CKD) dengan Prasarana Malaysia Bhd menjelang Februari 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Sun Bus Tech Shyan Phang berkata projek itu menandakan peralihan strategik utama syarikat, daripada operasi berorientasikan eksport kepada fokus domestik yang lebih meluas, seiring dengan dasar kerajaan untuk mengukuhkan pemasangan tempatan dan kapasiti perindustrian.

“Projek berskala besar domestik ini adalah yang pertama dan kini menggunakan hampir 100 peratus kapasiti pengeluaran kami, dengan sasaran pengeluaran 50 unit sebulan,” katanya.

Bagi kumpulan pertama sebanyak 10 unit bas telah dihantar bulan lalu, diikuti 15 unit lagi pada minggu ini. Mulai bulan depan, syarikat akan meningkatkan penghantaran kepada 40 hingga 50 unit sebulan, katanya.

Beliau berkata projek berkenaan turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, selaras dengan usaha syarikat membangunkan tenaga kerja mampan berasaskan bakat tempatan.

“Kami bekerjasama rapat dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Johor serta Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) untuk melatih lebih ramai rakyat Malaysia. Sasaran kami adalah untuk mencapai 90 peratus tenaga kerja tempatan dalam masa terdekat,” katanya.

Sun Bus Tech merupakan antara syarikat yang menyahut seruan kerajaan Johor untuk meningkatkan paras gaji dan membangunkan tenaga kerja masa depan dengan menawarkan gaji permulaan premium sebanyak RM4,000 kepada pekerja mahir.

Sebelum ini lebih 90 peratus jualan Sun Bus Tech disumbangkan oleh pasaran antarabangsa seperti Singapura dan Taiwan, namun kontrak dengan Prasarana dijangka menyumbang hampir separuh daripada jumlah jualan syarikat bagi tahun ini, kata Shyan.

“Tender tempatan ini memberi kami peluang untuk mengukuhkan kehadiran di pasaran Malaysia,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Prasarana melancarkan 310 bas diesel di bawah program Penggantian Bas 2025 bagi meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ini merupakan perolehan terakhir bas diesel oleh Prasarana, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk beralih kepada sistem pengangkutan awam yang lebih mampan, mesra alam dan rendah karbon.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here