
Sebuah Rolls-Royce bernilai RM3 juta milik seorang ahli perniagaan merupakan antara 53 kenderaan mewah yang disita dalam tempoh tiga hari di sekitar Lembah Klang sejak Rabu lalu.
Operasi Op Luxury 2.0 itu dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.
Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, operasi tersebut mengesan pelbagai kesalahan antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah serta penggunaan nombor pendaftaran yang belum didaftarkan.
Jelasnya, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan.
“Siasatan awal mendapati tiga daripada kenderaan mewah itu dipandu oleh warga asing tanpa cukai jalan dan insurans.
“Kenderaan ini disewa oleh mereka dan ada juga yang dimiliki oleh syarikat tempat mereka bekerja,” katanya.
Muhammad Kifli berkata, selain Rolls-Royce model lain yang disita adalah Lamborghini, BMW i8 dan Aston Martin.
“Ada antara kenderaan tersebut tidak memperbaharui cukai jalan sejak tahun 2022,” ujarnya.
Di samping itu, beliau berkata salah seorang warga asing tersebut juga didapati memandu menggunakan lesen memandu antarabangsa palsu yang dipercayai dibeli di Dubai dengan harga RM5,000.
“Kita akan fokus penguatkuasaan bukan sahaja terhadap motosikal, tetapi juga kenderaan mewah. Kita tidak pilih bulu, dan saya telah gerakkan operasi ini di seluruh negara,” katanya.
Tegasnya, JPJ telah mengenal pasti lebih 1,000 kenderaan mewah di seluruh negara yang mempunyai isu cukai jalan dan insurans.