
GWM Malaysia memperkenalkan varian baharu bagi SUV hibrid terlarisnya, Haval H6 HEV, yang kini tampil dengan pilihan interior Phantom Black pada harga RM139,800 seunit.
Naik taraf itu bukan sahaja selari dengan cita rasa semasa pengguna terhadap rekaan dalaman moden, malah masih mengekalkan semua pilihan warna badan sedia ada, sekali gus mengukuhkan lagi statusnya sebagai SUV hibrid paling serba boleh di pasaran Malaysia.
Interior Phantom Black menambah sentuhan kemewahan dan sporty kepada Haval H6 HEV yang sudah sedia lengkap dengan pelbagai ciri canggih.
Ia turut memperluas pilihan kepada pengguna yang mahu menyesuaikan gaya dalaman kenderaan mengikut cita rasa peribadi mereka.
Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah berkata, pihaknya mendengar maklum balas pelanggan yang mahukan rekaan dalaman lebih moden dan sofistikated.
“Kami berbangga dapat memenuhi keperluan ini sambil mengekalkan strategi produk yang menekankan keseimbangan antara prestasi dan nilai.
“Pengguna di Malaysia bijak dan tahu bahawa nilai sebenar bukan sekadar harga, tetapi gabungan kekuatan keseluruhan produk. GWM Haval H6 HEV menawarkan spesifikasi tinggi, prestasi mantap dan kebolehpercayaan yang terbukti,” katanya.
Selain penambahan interior baharu, GWM Haval H6 HEV terus mengekalkan kekuatannya dalam teknologi pintar, sistem hibrid dengan menawarkan pengalaman pemanduan luar jangka pada harga yang berpatutan.
Sebagai peneraju dalam segmen SUV hibrid, Haval H6 HEV menyerlah dengan prestasi cemerlang dan perhatian kepada perincian, membuktikan bahawa “premium” tidak semestinya mahal, tetapi pastinya bukan murahan.
Dilengkapi enjin hibrid 1.5L empat silinder pengecas turbo, GWM Haval H6 HEV menggabungkan kuasa elektrik dan petrol secara cekap dengan output keseluruhan mencecah 243 PS dan 530 Nm tork.
Dengan penggunaan bahan api serendah 5.8L 100km dan jarak pemanduan melebihi 1,000 km dengan satu tangki penuh, ia menawarkan pengalaman pemanduan hibrid premium yang seimbang dari segi kuasa, penjimatan dan praktikaliti.
Untuk menambah nilai kepada pelanggan, GWM kini menawarkan promosi terhad bagi HAVAL H6 HEV, termasuk penjimatan bernilai RM6,600 serta naik taraf Waranti Bateri HEV selama 10 tahun.
GWM Malaysia menjemput semua pengguna untuk mengunjungi bilik pameran pengedar sah GWM di seluruh negara bagi merasai sendiri pengalaman naik taraf terbaharu GWM Haval H6 HEV.