Duda dipenjara 13 bulan gara-gara rosakkan cermin kereta

88

Seorang duda dijatuhkan hukuman penjara selama 13 bulan oleh Mahkamah Majistret di Jempol pada Jumaat selepas melakukan khianat dengan merosakkan cermin kereta. 

Majistret Norshazwani Ishak menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Khairul Azhar Mohd Yusof, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin sisi dan belakang sebuah kereta dengan niat menyebabkan kerosakan terhadap harta tersebut yang dianggarkan bernilai RM1,200.

Kesalahan itu dilakukan pada 21 Julai 2024, kira-kira jam 6.30 petang di Jalan Palong 16, Tembangau, Jempol.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Lee Ee San merayu agar tertuduh dikenakan hukuman penjara minimum kerana merupakan bapa tunggal yang perlu menjaga tiga anak masih bersekolah.

Katanya, tertuduh hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu serta memohon maaf atas kesalahan yang telah dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib pula memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran, memandangkan tertuduh bukan kali pertama dihadapkan ke mahkamah.

Jelas beliau, sabitan pertama tertuduh adalah pada tahun 2020, juga di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here