
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melucutkan hak syarikat dan pengendali berlesen kenderaan barangan (lori), perkhidmatan awam (KPA) dan bas persiaran yang menggajikan pemandu warga asing berkuatkuasa pada Khamis.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pihak JPJ memberi amaran tegas kepada syarikat yang menggajikan warga asing untuk memandu dan menyediakan perkhidmatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata lebih 2000 saman tiada Lesen Vokasional (PSV / GDL) dikeluarkan ke atas pemandu warga asing sehingga Julai 2025.
“Dalam hal ini, tindakan penguatkuasaan boleh diambil mengikut Seksyen 22, 41, 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 80 APAD 2010 (menyita melucuthakkan kenderaan syarikat perdagangan) jika sabit kesalahan.
“JPJ menyeru semua syarikat dan pengendali berlesen dalam industri pengangkutan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memastikan setiap pekerja yang diambil memiliki dokumen dan kelayakan yang sah,” katanya.