
Pada Jun lalu, Motoqar melaporkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) sudahpun melengkapkan ujian dalaman Kutipan Tol Tanpa Palang (MLFF).
Menjelang pelaksanaan MLFF pada sekitar 2027, syarikat konsesi berkenaan rasmi mendedahkan projek rintis sistem pembayaran terbuka tol menggunakan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) yang bakal dilaksana Oktober depan.
Sistem ANPR ini berfungsi menggunakan kamera berteknologi tinggi yang dipasang pada gantri untuk mengimbas nombor plat kenderaan.
Nombor plat tersebut kemudiannya dipadankan dengan akaun pengguna yang berdaftar, dan caj tol akan ditolak secara automatik.
Bagaimana Ingin Menyertai Ujian Rintis Awam Ini?
PLUS akan memilih pelanggan perintis untuk menjadi yang pertama menguji sistem ANPR yang sedang dibangunkan.
Menurut sumber Motoqar, proses pemilihan adalah berdasarkan kriteria seperti kekerapan penggunaan lebuh raya PLUS dan mod pembayaran semasa.
-
Pemilihan: Pengguna yang terpilih akan berkongsi maklum balas dan pengalaman menggunakan sistem berkenaan bagi pengumpulan data untuk penambahbaikan.
-
Pengaktifan: Selepas terpilih, pengguna perlu memuat turun aplikasi JustGo untuk mendaftar dan mengaktifkan akaun pembayaran tol ANPR.
Bagi pengguna yang tidak terpilih, aplikasi JustGo masih boleh dimuat turun untuk tujuan pendaftaran pembayaran tol melalui e-invois digital.
Mekanisme Pembayaran dan Senario Baki Tidak Mencukupi
Satu persoalan penting ialah bagaimana sistem ini menguruskan pembayaran dan kegagalan transaksi.
Aplikasi JustGo akan diintegrasikan terus dengan kaedah pembayaran pilihan pengguna. Pada peringkat awal, kami difahamkan sistem ini akan menyokong mod pembayaran kad kredit dan debit, sebelum diperluaskan kepada e-dompet kelak.
Apa akan berlaku jika baki tidak mencukupi?. Sistem tersebut direka dengan mekanisme pembayaran tiga peringkat.
Sekiranya semua mod pembayaran gagal, sistem ini akan melibatkan campur tangan manusia untuk menyelesaikan isu tersebut.
Bagaimanapun, sebaik sahaja pengguna menambah nilai semula ke dalam akaun e-dompet atau kad yang didaftarkan, jumlah pembayaran yang gagal sebelum ini akan terus ditolak secara automatik.
Keupayaan Sistem: Tangani Nombor Plat ‘Fancy’ & Klon
Menyentuh aspek teknikal, projek perintis ini melibatkan 13 lorong di lokasi strategik termasuk Hutan Kampung-Sungai Dua, Damansara, Subang, dan Jalan Duta.
Ujian dalaman yang dijalankan selama hampir dua tahun telah merekodkan kadar kejayaan transaksi yang amat tinggi, iaitu menghampiri 100 peratus.
Bahkan, sistem mampu mengesan dan membaca nombor plat kenderaan dengan tepat, walaupun pada kelajuan 50kmj. Cuma pengguna masih perlu membrek kerana adanya palang.
Sebagai perbandingan, pengguna RFID perlu bergerak melepasi plaza tol pada kelajuan sehingga 30kmj.
Apabila MLFF dilaksanakan kelajuan mungkin boleh ditingkatkan sekaligus menjadikan perjalanan lebih lancar dan pantas.
Selain itu, sistem ANPR yang disokong oleh Kecerdasan Buatan (AI) juga mampu mengecam pelbagai jenis nombor plat, termasuk nombor plat klon dan ‘fancy’. Sekiranya AI gagal membuat pengecaman, ia masih boleh disahkan melalui campur tangan manusia.
ANPR PLUS juga akan diperkukuh dengan kerjasama erat dengan pihak berkuasa.
Dengan adanya CCTV (TVC) di plaza tol, pemantauan dapat dilakukan secara menyeluruh. Ini memudahkan PLUS dan pihak berkuasa untuk mengesan sebarang percubaaan pelanggaran atau ketidakpatuhan.
Kerjasama ini memastikan setiap aspek, termasuk penguatkuasaan undang-undang, terpelihara. Sekiranya ada pengguna yang cuba melanggar peraturan pembayaran tol, sistem ini memudahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan.
Walaupun begitu, sumber menegaskan kerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih diperlukan bagi menguatkuasakan penggunaan nombor plat mengikut piawaian yang ditetapkan.
Sistem ANPR yang bakal diperkenalkan oleh PLUS bukan sekadar untuk tol sahaja. Ia merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan untuk mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan.
Sumber terdekat berkongsi, aplikasi ini akan diperluaskan pada masa hadapan untuk memberikan lebih banyak kemudahan. Antaranya termasuklah membayar saman, dan juga untuk urusan subsidi bersasar. Ini bermakna, semuanya boleh diuruskan dalam satu aplikasi sahaja!.