
Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut selepas dirempuh suspek kes pecah rumah ketika menjalankan tugas di Taman Golf, di Alor Setar, pada petang Khamis.
Mangsa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas suspek melanggarnya dengan sebuah SUV Lexus ketika cuba melarikan diri.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di sebuah rumah di kawasan berkenaan.
“Lima anggota JSJ digerakkan ke lokasi. Sebaik tiba, mereka mendapati suspek sedang cuba mencuri peti besi dari rumah tersebut.
“Salah seorang suspek bertindak agresif dengan merempuh mangsa yang baru keluar dari kenderaan pasukan, menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia manakala seorang lagi suspek ditaham di lokasi,” jelasnya.
Bagaimanapun, tiga lagi suspek melarikan diri menggunakan SUV sama yang mengalami kerosakan akibat rempuhan itu.
Kemudian, tiga suspek itu melarikan sebuah kereta yang dinaiki sepasang suami isteri warga emas di sebuah hotel lalu membawa bersama isteri mangsa yang berada di penumpang hadapan.
“Kereta yang dilarikan suspek kemudian terlibat dalam kemalangan di Kepala Batas sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.
Kesemua suspek berusia antara 24 hingga 26 tahun dan dipercayai berasal dari Johor. Hasil semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 77 rekod jenayah lampau, kebanyakannya melibatkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.
“Dua lagi masing-masing mempunyai 30 dan enam rekod, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod lampau.
“Modus operandi mereka menunjukkan ia adalah kumpulan pecah rumah yang bergerak antara negeri. Kami sedang siasat sama ada serbuan ini dilakukan secara rambang atau berdasarkan maklumat dalaman,” jelasnya.
Katanya, kedua-dua kenderaan yang digunakan suspek termasuk yang merempuh anggota dan satu lagi yang dicuri telah berjaya ditemui semula.
Mohd Hafizul berasal dari Setiu, Terengganu meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 kerana menceroboh dan pecah rumah.