Tesla mohon lesen bekal elektrik rumah di Great Britain

61

Tesla, syarikat kereta elektrik (EV) milik Elon Musk, sedang bersiap sedia untuk melancarkan perkhidmatan pembekal elektrik rumah di Great Britain dalam beberapa bulan akan datang.

Menurut notis yang diterbitkan di laman web pengawal selia tenaga Great Britain (Ofgem), syarikat itu telah memohon lesen pembekalan elektrik secara rasmi.

Ini membolehkan Tesla yang turut menjalankan perniagaan pembekalan tenaga di Amerika Syarikat menyediakan elektrik kepada premis domestik dan perniagaan di England, Scotland, dan Wales selewat-lewatnya tahun depan.

Manakala Ofgem memiliki sehingga sembilan bulan untuk menilai permohonan tersebut.

Perkhidmatan ini dijangka akan dinamakan Tesla Electric dan mungkin akan menumpukan kepada pelanggan yang memiliki produk Tesla seperti kereta atau bateri.

Bagaimanapun, ia tidak akan berfungsi untuk isi rumah dengan kontrak dwi-bahan api kerana syarikat itu hanya memohon lesen elektrik.

Permohonan ini dibuat oleh Tesla Energy Ventures, anak syarikat tenaga yang berpangkalan di Manchester, pada bulan lalu.

Langkah ini pertama kali dilaporkan oleh Sunday Telegraph yang mana permohonan itu ditandatangani oleh Andrew Payne, yang telah berkhidmat dengan Tesla sejak 2016 dan mengetuai perniagaan tenaga syarikat di Eropah.

JUALAN TESLA MENURUN DI EROPAH

Langkah ini diambil ketika jualan kereta elektrik Tesla di seluruh Eropah menurun. Menurut data daripada badan industri utama, jualan Tesla di UK menurun lebih daripada separuh pada bulan lalu.

Hanya 987 unit Tesla baharu didaftarkan di UK pada Julai iaitu penurunan hampir 60 peratus berbanding 2,462 unit yang didaftarkan pada Julai 2024. Ini bermakna pasaran Tesla di UK mengecil kepada 0.7 peratus pada Julai, berbanding 1.67 peratus setahun yang lalu.

Sepanjang 2025 sehingga kini, jualan Tesla di UK adalah 7 peratus lebih rendah. Ini berlaku dalam tempoh Musk menghadapi kritikan hebat atas hubungannya dengan Donald Trump dan campur tangannya dalam politik di Jerman, Perancis, dan UK.

Tesla telah menjual banyak bateri penyimpanan di rumah yang dikenali sebagai Powerwalls, yang boleh dicas menggunakan tenaga solar atau dari grid pada waktu luar puncak, kepada isi rumah di UK. Syarikat itu juga menjual pengecas rumah untuk kereta elektrik.

Tesla sudah pun membayangkan hasratnya untuk menjual elektrik kepada isi rumah dua tahun lalu apabila ia menyiarkan iklan kerja untuk jawatan ketua operasi. Ia mengambil langkah pertama ke dalam pasaran tenaga Britain pada tahun 2020 apabila diberikan lesen untuk menjadi penjana elektrik.

Tesla sudah mempunyai pembekal elektrik di Texas, ia melancarkan tawaran bekalan isi rumah pada tahun 2022. Ini membolehkan pemilik Tesla mengecas kereta mereka dengan murah dan membayar mereka untuk menjual lebihan kuasa solar atau elektrik yang disimpan dalam bateri rumah kembali ke grid.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here