
Dua buah kereta dengan pendaftaran Singapura didakwa telah dirampas dan pemandunya ditahan selepas menawarkan perkhidmatan e-hailing haram pada Sabtu lalu.
Menurut laporan China Press, beberapa pegawai dilihat berkumpul di sekitar dua buah MPV berwarna hitam berhampiran Legoland Johor Bahru itu.
Bagaimanapun, foto yang dimuatnaik pada satu hantaran Facebook itu telahpun dipadam manakala menerusi imej yang bersaingan menunjukkan salah satu kenderaan itu diiringi kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor.
Bercakap dengan China Press, sumber bernama Chen mendakwa pemandu-pemandu itu merancang untuk menghantar pelanggan mereka pulang ke Singapura ketika ditahan oleh pihak berkuasa.
Seorang lagi sumber mendakwa JPJ telah bertindak berdasarkan maklumat yang diberikan oleh orang awam, lapor China Press.
Pengguna yang memuat naik hantaran tersebut turut menulis kapsyen: “Kamu tangkap saya, saya tangkap kamu, kita saling menyakiti dan bandingkan siapa yang paling rugi: harga kereta dolar Singapura atau ringgit Malaysia.”
Sebilangan pengguna memuji tindakan pantas JPJ yang menahan pemandu yang tidak mematuhi peraturan di Malaysia.
“Kalau dah salah, tangkap saja. Itu memang betul,” kata seorang pengguna.
19 Ditahan Kerana Menawarkan E-Hailing Haram di Singapura
Seramai 19 penyedia perkhidmatan e-hailing haram di Singapura dan seberang sempadan telah ditahan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), menurut satu hantaran Facebook pada Rabu lalu (6 Ogos).
Pemandu-pemandu itu ditangkap semasa rondaan di Gardens by the Bay dan Lapangan Terbang Changi, serta operasi bersama dengan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di salah satu pintu masuk darat Singapura.
LTA mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan perkhidmatan e-hailing haram tersebut.
“Mereka bukan sahaja membahayakan keselamatan, malah perjalanan anda juga boleh terganggu jika perkhidmatan haram yang anda gunakan ditangkap dalam operasi penguatkuasaan kami,” kata pihak berkuasa.
Pesalah yang menyediakan perkhidmatan e-hailing secara haram boleh didenda sehingga SGD3,000 (RM9,874), dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya di samping kenderaan dirampas.