
Pemansuhan cukai jalan bagi motosikal bawah 150cc hanya akan menggalakkan lebih banyak kenderaan di jalan raya, sekali gus tidak selari dengan hasrat kerajaan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, cadangan tersebut juga tidak sesuai dilaksanakan kerana akan mengurangkan dana untuk pembinaan dan naiktaraf jalan raya di negara ini.
Menurutnya, walaupun cukai jalan motosikal bawah 150cc rendah, ia masih menyumbang kepada perbelanjaan meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Perkara pertama yang perlu kita tahu ialah objektif utama cukai ini dikenakan kepada kenderaan di negara ini adalah bagi memastikan jalan raya dapat dibina dan dibaik pulih. Ini semua ada kos, jika tidak, siapa yang akan membayar?.
“Keduanya, walaupun kos penyelenggaraan jalan bagi motosikal rendah kerana kenderaan ini ringan, kita perlu fikir kesannya jika cukai ini dimansuhkan. Ia seolah-olah menggalakkan lebih ramai anak muda khususnya untuk menggunakan kenderaan.
“Saya tidak faham kenapa ada cadangan sebegini. Kita bercakap tentang nyawa. Bukankah kita mahu lebih ramai menggunakan kemudahan pengangkutan awam?,” katanya kepada Sinar Harian.
KURANGKAN CUKAI

Tambah Teik Hua, jika kerajaan serius mempertimbangkan cadangan itu, pendekatan terbaik adalah mengurangkan cukai berkenaan dan bukannya menghapuskan terus.
Jelasnya, pemansuhan cukai jalan diibaratkan sebagai dorongan untuk lebih ramai rakyat menggunakan motosikal dan mendapatkan lesen.
“Kalau betul mahu dikaji, boleh untuk kita kurangkan cukai tetapi dengan alasan yang munasabah seperti ekonomi kurang baik. Alasan ini boleh diterima kerana orang yang menggunakan motosikal kebanyakannya golongan yang kurang berkemampuan daripada segi ekonomi.
“Kalau tiada alasan yang kukuh, tidak perlu pun dilaksanakan kerana kita perlukan banyak dana untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan orang ramai. Sebab itu, saya tidak nampak sebab untuk memansuhkan cukai jalan motosikal,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan mengumumkan projek mega Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dengan anggaran awal kos keseluruhan RM68 bilion bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, meningkatkan mobiliti trafik dan keselamatan jalan raya.
“Apa akan jadi kalau kita buat tindakan ini? Ia seolah-olah memberi isyarat yang salah. Bagaimana kita mahu menggalakkan mereka dengan pelaksanaan ini?
“Kita mesti tentukan arah. Sepatutnya apa yang perlu kita buat ialah mengurangkan atau tidak menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan mereka,” katanya.
Pada Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 25 peratus, jauh berbeza berbanding Singapura sebanyak 67 peratus, Tokyo (73 peratus) dan Seoul (63 peratus).
Malaysia juga berdepan dengan kepadatan kenderaan di dalam negara apabila sehingga hujung 2024, terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar di Malaysia, bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.
Jumlah itu melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta dan angka ini terus meningkat, didorong oleh jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) yang mencecah 816,747 unit, tertinggi dalam sejarah negara.
Berdasarkan laporan Statistik Tahunan Pengangkutan Malaysia 2024, jumlah pendaftaran kenderaan terkumpul sehingga 2024 adalah sebanyak 38 juta unit, iaitu motokar sebanyak 18.1 juta dan motosikal sebanyak 17.5 juta.