
Pemilik kenderaan elektrik (EV) di Malaysia akan mula membayar cukai jalan tahunan serendah RM20 atau setinggi RM850 di bawah sistem baharu yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Langkah tersebut yang menggantikan pengecualian cukai sedia ada dianggap lebih adil bagi segelintir pihak namun dikritik mengelirukan dan lebih cenderung memihak kepada golongan berkemampuan.
Walaupun semakan semula rangka kerja ini dilihat lebih mampu milik berbanding formula cukai jalan EV lama, penganalisis pasaran menekankan impak sebenar kepada pengguna yang bergantung kepada sokongan berterusan infrastruktur pengecasan, insentif fiskal, dan peralihan jangka panjang ke arah sistem cukai berasaskan pelepasan emisi.
Presiden Kelab Pemilik EV Malaysia (MEVOC), Datuk Shahrol Halmi berkata ahli kelab terkejut dengan pengurangan mendadak kadar baharu tersebut berbanding paras cukai jalan EV sebelum 2022.
Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) menggunakan skala progresif yang mana pengiraan cukai mengikut kuasa motor kenderaan, secara umumnya sepadan dengan harga pasaran EV.
“EV mewah dengan output yang lebih tinggi akan membayar lebih banyak, manakala model dalam julat harga mampu milik, seperti BYD Atto 2 dengan motor 130kW, akan dicukai hanya RM120 setahun,” jelasnya.
Shahrol sedia maklum fungsi cukai jalan di Malaysia adalah rendah sebagai yuran penyelenggaraan jalan secara langsung dan lebih menyerupai “cukai kekayaan” yang dikenakan berdasarkan nilai dan kuasa kenderaan.
“Pengumuman struktur yang disemak semula pada Jun tahun lalu jelas bertujuan menggalakkan pemandu beralih kepada EV, dengan kadar yang lebih rendah berbanding kenderaan petrol pada harga yang sama,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai faedah kadar baharu itu, Shahrol memberikan perbandingan misalnya sebuah SUV Proton X70 akan mengeluarkan cukai tahunan kira-kira dua kali ganda lebih tinggi daripada Proton e.MAS 7 (RM180 setahun).
Beliau menjelaskan jurang besar itu kerana kaedah penilaian yang berbeza.
“Kenderaan enjin pembakaran dalam (ICE) dicukai berdasarkan kapasiti enjin (cc), manakala EV dicukai berdasarkan output motor.
“Ia adalah dua sistem yang berasingan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mesti menjelaskan perkara ini dengan jelas kepada pengguna,” tegasnya.
AKAN WUJUD RASA TIDAK ADIL BAGI PENGGUNA ICE
Pakar Pengangkutan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nur Sabahiah Abdul Sukor, menyatakan semakan semula struktur cukai itu selaras dengan ikrar Perjanjian Paris Malaysia untuk mengurangkan intensiti gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
“Memandangkan EV tidak mempunyai enjin, penggunaan kuasa motor (kW) adalah standard di peringkat global. Tetapi apabila dibandingkan dengan kadar ICE berasaskan sentimeter padu (cc), ia boleh terasa seperti perbandingan ‘epal dengan oren’,” katanya.
Dr. Nur Sabahiah memberi amaran bahawa pemilik ICE mungkin berasa tidak adil kecuali kerajaan menjelaskan ini adalah sebahagian daripada rancangan yang lebih besar untuk beralih ke arah percukaian berasaskan pelepasan emisi (emissions-based taxation).
Beliau menambah, kadar EV yang lebih rendah ini harus dilihat sebagai insentif sementara sahaja.
“Jika jurang perbezaan terlalu luas, ia akan memesongkan pasaran. Lama-kelamaan, Malaysia mesti beralih ke arah percukaian berasaskan pelepasan, yang mana ia lebih adil dan lebih baik untuk alam sekitar,” ujarnya.
INSENTIF BERPIHAK GOLONGAN KAYA
Sementara itu, ahli ekonomi alam sekitar dari UiTM, Profesor Madya Dr. J.S. Keshminder, berpendapat bahawa struktur berperingkat yang mengenakan kadar lebih tinggi untuk EV berkuasa, pada masa ini memberikan manfaat kepada isi rumah berpendapatan tinggi yang mendominasi pasaran EV.
Ia justeru mengukuhkan kritikan bahawa insentif ini lebih memihak kepada golongan berada.
“Persoalan keadilan hanya akan terjawab apabila kerajaan memperkenalkan dasar-dasar pelengkap untuk membantu isi rumah berpendapatan sederhana, seperti subsidi bersasar dan lebih banyak stesen pengecasan awam,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa pembeli yang lebih kaya mungkin didorong oleh penjimatan cukai, tetapi ramai rakyat Malaysia kelas pertengahan masih terhalang oleh harga pembelian awal yang tinggi dan kebimbangan jarak perjalanan.
“Kejayaan rangka kerja ini bergantung pada pendekatan holistik yang menjadikan EV benar-benar boleh diakses oleh semua,” jelasnya.
Keshminder juga menggesa kerajaan untuk meninggalkan sepenuhnya sistem percukaian berasaskan kapasiti enjin (cc).
“Sistem itu sudah ketinggalan zaman jika matlamat akhir kita adalah untuk mengurangkan pencemaran. Model berasaskan pelepasan akan melindungi kesihatan awam dan menjadikan industri automotif kita lebih berdaya saing,” katanya.
Kerajaan mula memperkenalkan pengecualian penuh ke atas cukai jalan EV, duti import, dan duti eksais pada tahun 2022 untuk merancakkan penerimaan EV.
Pengecualian ini akan tamat pada 31 Disember yang mana kadar baharu cukai jalan akan bermula serendah RM20 untuk model permulaan terkecil dan meningkat sehingga RM850 untuk EV berkuasa tinggi (bergantung output motor).