
BYD Malaysia rasmi melancarkan Seal 6 EV ke pasaran tempatan pada harga mula RM100,000, sekaligus menjadikan Malaysia sebagai pasaran global pertama untuk model tersebut.
Dikenali sebagai Qin L EV di China, sedan elektrik itu lebih kecil berbanding BYD Seal sedia ada dengan panjang 4,720mm, lebar (1,880mm) dan tinggi (1,495 mm).
Namun begitu, sedan itu lebih pendek 80mm berbanding Seal biasa tetapi 5mm lebih lebar dan 35mm lebih tinggi.
Seal 6 EV dibina di atas platform termaju iaitu e-Platform 3.0 Evo, sama seperti model SUV Sealion 7.
Ia dikuasakan dengan motor permanent magnet synchronous bersama pacuan roda belakang. Berikut spesifikasi model pasaran tempatan :
Varian Dynamic (RM100,000)
- Output: 95kW / 220 Nm
- 0-100kmj: 10.9 saat
- Bateri: 56.64kWh
- Jarak Pandu: 485km (NEDC)
Varian Premium (RM115,800)
- Output: 160kW / 330Nm
- 0-100kmj: 7.5 saat
- Bateri: 56.64 kWh (LFP)
- Jarak Pandu: 485km (NEDC)
Dari segi pengecasan, kedua-dua varian didatangkan dengan pengecasan pantas DC yang mana isian bateri 30 hingga 80 peratus hanya mengambil masa 24 minit. Bagaimanapun, pengecasan AC terhad kepada 6.67kW.
Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.37kW membolehkan kereta ini menjadi sumber kuasa yang memberi kelebihan buat kaki outdoor.
Daripada segi penampilan, Seal 6 EV tidak begitu sporty berbanding Seal yang mana ia didatangkan dengan lampu depan nipis dengan kemasan jalur perak di bahagian bawah sepanjang hud.
Di dalamnya pula mengetengahkan reka bentuk lebih kemas dengan papan pemuka rata dan panel hitam berkilat. Ia juga menggunakan tuil gear yang dipasang pada kolum stereng seperti model Atto 2.
Konsol tengah kelihatan kemas dan teratur menerusi dua pemegang cawan yang diletakkan di bahagian hadapan konsol serta pad pengecasan tanpa wayar dengan kemasan bertekstur.
Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah skrin instrumen digital 8.8-inci dan skrin sentuh infotainmen boleh putar bersaiz 12.8; pengecas telefon tanpa wayar 15watt, ketersambungan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar serta bumbung kaca panorama.