
Pada tahun 2022, Acura telah menghentikan produksi bagi kereta sports NSX.
Dengan penamatan produksi sedan TLX yang dijangka tahun hadapan, Acura kini hanya mempunyai sebuah sedan merangkap kereta sports di dalam portfolionya, iaitu Integra.
Adakah keadaan ini akan berterusan?
Menurut Ketua Pegawai Operasi Automobil Honda, Katsushi Inoue memberitahu laman Road & Track, sedan dan kereta sports masih lagi memainkan peranan penting kepada jenama Acura.
“Kami percaya SUV amat penting untuk perniagaan arus perdana, namun untuk membezakan dengan syarikat lain, kami perlu melakukan perkara ini: produksi model sporti.”
“Bentuk mungkin akan berubah dari masa ke semasa, bukan? Coupe, sedan, namun kami percaya kami masih perlu mengekalkan bentuk badan tersebut. SUV bukanlah segalanya.”
Menariknya, Acura baru-baru ini menghidupkan semula salah satu plet nama ikonik (RSX) dalam bentuk SUV elektrik, dan bukannya bentuk badan coupe dua pintu seperti penawaran terdahulu.