Dua kontena ‘penyu’ laris diborong RXZ Members

239

Tahun lalu rantai kunci penyu bertopi keledar menjadi kegilaan, kini trend patung penyu sandang belakang pula menjadi tarikan dalam kalangan peminat motosikal RX-Z. 

Menurut laporan Sinar Harian, Mohd Azrol Azahar berkata sebanyak dua kontena patung penyu yang dijual di Kuala Terengganu habis diserbu ribuan peminat RX-Z yang hadir ke Himpunan RXZ Members 7.0 di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, baru-baru ini. 

Peniaga berusia 38 tahun itu berkongsi membuat tempahan awal hampir 100,000 unit dengan 18 rekaan bagi memenuhi permintaan luar biasa pada kali ini.

“Kalau sebelum ini saya hanya bawa kira-kira 50,000 unit tetapi tak pernah cukup. Tahun ini saya order dua kontena penuh yang mana 90 peratus habis dijual.

“Edisi ‘penyu galas belakang’ paling laris dengan jualan melebihi 70 peratus, diikuti rantai kunci patung penyu bertopi keledar yang turut digemari penunggang,” katanya.

Menurutnya, tempahan pada kali ini dibuat dalam jumlah yang tinggi membolehkan harga diturunkan berbanding tahun lalu bagi menghindari rungutan pembeli.

“Kalau dulu saiz sederhana dijual sekitar RM45 seunit, sekarang hanya RM19 hingga RM20. Saya nak semua lapisan pengunjung mampu bawa pulang patung ini sebagai kenangan,” katanya.

Tinjauan turut mendapati peminat motosikal RX-Z lebih gemar memilih patung penyu saiz sederhana kerana mudah diikat di belakang badan dan harganya pula berpatutan yang mana setiap satunya dijual sekitar RM20 hingga RM30.

Sementara itu, peniaga Pasar Payang, Syed Syukri Syed Hamid, 40, berkata, fenomena tersebut memberi limpahan rezeki kepada peniaga tempatan kerana patung penyu kekal menjadi identiti peminat motosikal RXZ.

“Ramai yang singgah beli sebelum balik ke kampung. Kalau dulu satu atau dua sahaja, kali ini ada yang borong lima hingga enam patung penyu,” katanya.

ARTIKEL LAIN

Sebiji helmet yang berharga sebuah RXZ Catalyzer original!

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here