
Malaysia Airlines menjadualkan semula penerbangannya bermula 26 hingga 31 Ogos susulan penutupan sementara ruang udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perubahan tersebut dijalankan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68.
Ruang udara yang terjejas akan ditutup setiap hari dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari selama enam hari tersebut.
Penutupan itu bagi memberi laluan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan raptai bagi pertunjukan udara yang akan menjadi sebahagian daripada perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Dalam satu kenyataan di laman web Malaysia Airlines berkata jadual baharu itu akan menjejaskan ketibaan dan pelepasan penerbangan di KLIA.
Penumpang yang berlepas dari KLIA dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya empat jam lebih awal daripada waktu pelepasan yang dijadualkan semula.
Ini adalah bagi memastikan pelanggan mempunyai masa yang mencukupi untuk mendaftar masuk dan pengesahan dokumen di pelbagai pusat pemeriksaan.
Malaysia Airlines telah menerbitkan senarai penerbangan yang terjejas mengikut tarikh, tetapi tidak mendedahkan jumlah keseluruhan perkhidmatan yang terkesan.
Syarikat penerbangan itu juga menasihatkan penumpang untuk memastikan mereka mempunyai semua dokumen perjalanan yang diperlukan dan memeriksa keperluan kemasukan dan keluar melalui sumber rasmi sebelum melakukan perjalanan.