Mazda CX-80 PHEV lancar di Malaysia- Harga bermula RM330K, enam tempat duduk

9

Sebelum ini, Bermaz Motor melancarkan CX-60, SUV 2 baris yang lebih kompak dan sporty. Kini, CX-80 hadir sebagai pelengkap dengan menawarkan ruang lebih luas, enam tempat duduk serta ciri premium yang sesuai untuk keluarga moden.

Pertama kali muncul di Eropah pada 2024, CX-80 kini tiba untuk pasaran tempatan selepas dipertontonkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. 

Kehadirannya menandakan komitmen Mazda untuk memberikan pilihan SUV premium sama ada untuk mereka yang mahukan gaya sporty (CX-60) atau kepraktisan keluarga (CX-80).

Mazda CX-80 dibina dengan falsafah reka bentuk “Graceful Toughness”, gabungan ketegasan dengan elemen elegan. Bahagian hadapan menampilkan gril lebih besar bersama signature wing yang tebal, dipadankan lampu utama LED menegak dengan tandatangan cahaya berbentuk L. 

Dari sisi, CX-80 menampilkan garis bumbung yang panjang dan kemas, manakala belakangnya dihiasi lampu LED minimalis yang menyerlahkan lebar badannya.

Jika dibandingkan dengan CX-60, CX-80 lebih panjang dengan postur yang memberi rasa “grand sesuai untuk mereka yang mahukan SUV bersaiz penuh.

Ini dimensi Mazda CX-80:

  • Panjang: 4,996mm
  • Lebar: 1,890mm
  • Tinggi: 1,705mm
  • Jarak Roda: 3,120mm

Masuk ke dalam, CX-80 terus menyerlah dengan ruang dalaman luas untuk tujuh penumpang. Reka bentuk papan pemuka lebar, konsol tengah kukuh dan kemasan pintu yang menyatu memberi aura premium. Mazda menggunakan bahan dalaman mewah seperti kulit, kayu asli dan fabrik tenunan Jepun.

Infotainmen pula dilengkapi skrin sentuh 12.3 inci beresolusi tinggi dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, diiringi panel meter digital 12.3 inci dan paparan kepala (HUD).

CX-60 juga menawarkan pengalaman kabin premium, tetapi CX-80 jelas lebih praktikal kerana mampu memuatkan tiga baris tempat duduk dengan konfigurasi fleksibel untuk keluarga.

Mazda CX-80 dikuasakan oleh enjin 2.5L 4-silinder Skyactiv-G bersama transmisi automatik lapan kelajuan, ia juga dipadankan dengan motor elektrik. 

Ini juga adalah model pertama Bermaz Motor yang menawarkan dengan sistem PHEV, yang mana jentera itu mampu menyalurkan 323hp dengan tork setinggi 500Nm. Kuasa itu disalurkan ke pacuan semua roda. 

Dilengkapi bateri 17.8kw/h Litium-ion dengan keupayaan pemanduan elektrik sejauh 65km. Bateri itu hanya boleh dicas menggunakan AC sahaja dengan kapasiti maksimum 7.2kw yang mengambil masa 2.30 jam.

Ia menggunakan platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture yang juga dikongsi dengan CX-60, dibangunkan untuk menyokong sistem elektrifikasi pada masa depan.

SUV ini turut dilengkapi teknologi Kinematic Posture Control (KPC) yang membantu kestabilan semasa selekoh dengan mengurangkan olengan badan sama seperti pada CX-60.

Mazda CX-80 menerima penarafan 5 bintang Euro NCAP (2024). Ia lengkap dengan teknologi i-Activsense termasuk

  • Adaptive LED Headlamps
  • Blind Spot Monitoring
  • Lane Keep Assist
  • Driver Monitoring System
  • Smart Brake Support
  • Radar Cruise Control dengan Stop & Go
  • Cruising & Traffic Support

Mazda CX-80 ditawarkan dalam warna Melting Copper, Rhodium White, Artisan Red, Platinum Quartz dan Jet Black. Ia hadir sebagai unit CBU dari Jepun, dipasang di kilang Hofu, Prefektur Yamaguchi.

Harga bermula dari RM331,610.40, selain ditawarkan dengan dengan jaminan pengeluar 5 tahun dan penyelenggaraan percuma 5 tahun atau sehingga 100,000 km.

Galeri Gambar: 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here