
Tiga buah kereta melibatkan Honda City, Perodua Myvi dan Toyota Vios hangus terbakar sepenuhnya dalam kejadian 3.30 pagi Rabu, di Kampung Beringin, Alor Gajah, Melaka.
Seorang pembantu kantin tidak menyangka bunyi letupan yang mengejutkannya daripada tidur berpunca daripada kebakaran tiga kereta milik jirannya itu.
Easah Ahmad, 55, berkata selepas melihat api marah dia segera mengejutkan dua anaknya yang sedang tidur.
“Saya sedang tidur di bilik depan, tiba-tiba terdengar bunyi letupan dan melihat api marak di depan rumah sebelum mengejutkan anak dan jiran sebelah rumah.
“Risau waktu itu sebab ada orang awam yang berhenti di tepi jalan ternampak percikan api pada bahagian bumbung rumah. Kami anak-beranak keluar untuk menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi PBK I (TBK I), Mohd Nazri Mat Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.31 pagi sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dikejarkan ke lokasi.
Jelasnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 4 pagi.
“Kebakaran padam sepenuhnya pada jam 4.41 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
ARTIKEL LAIN