Utama Berita Automotif Selepas Lamborghini, Mercedes berazam kekalkan enjin V12 selama mungkin

Selepas Lamborghini, Mercedes berazam kekalkan enjin V12 selama mungkin

11

Dengan pelaksanaan undang-undang pelepasan emisi yang lebih ketat, sebilangan pengeluar terpaksa menghentikan pembangunan enjin bentangan V (V8, V12) demi memberikan laluan kepada enjin bersesaran lebih kecil yang dibantu induksi paksaan.

Namun, ada pihak yang mahu mengekalkan penawaran enjin V12 selama mungkin.

Selepas Lamborghini, Mercedes-Benz mengumumkan enjin V12 akan terus ditawarkan untuk tempoh masa yang lebih panjang.

Markus Schäfer, ketua pegawai teknikal Mercedes memberitahu Autocar, jenama itu akan terus menawarkan enjin V12 tanpa mendedahkan butiran terperinci berkenaan perancangan pada masa akan datang.

Apabila ditanya sama ada enjin tersebut sesuai dengan peraturan EU7, Schäfer berkata, “saya tidak akan menjelaskan lebih banyak, namun ia (enjin V12) akan hadir kelak.”

Buat masa ini, Mercedes menawarkan enjin V12 6.0 liter turbo berkembar pada model sedan mewah Maybach S680, menghasilkan kuasa 621 hp.

Sekiranya nadi tersebut akan digunakan pada model selain Maybach, Mercedes perlu memadankan bantuan elektrikasi supaya ia dapat mematuhi piawaian emisi Euro 7.

Mercedes juga sedang merancang untuk menamatkan unit rangkaian kuasa PHEV empat silinder sebaris yang kini digunakan pada model C 63 AMG, dan akan digantikan dengan enjin enam silinder sebaris atau enjin V8 baharu.

 

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here