
Antara kenderaan pertama yang dihasilkan oleh Maybach pada awal penubuhannya ialah sebuah motosikal, disifatkan sebagai yang pertama di dunia.
Pada tahun 1885, Wilhelm Maybach bekerjasama dengan Gottlieb Daimler menghasilkan enjin “grandfather clock”.
Ia berupa enjin satu silinder tegak berbentuk seperti jam besar yang dipasang pada rangka kayu dua roda yang mampu mencapai kelajuan 12 km/j.
Enjin 264 cc itu mampu menjana kuasa 0.5 hp pada 600 rpm.
Menariknya, motosikal ini turut mempunyai roda bantuan kecil sisi macam basikal latihan untuk kanak-kanak.
Menurut Mercedes-Benz, Reitwagen bukan sahaja motosikal pertama, tetapi kenderaan jalan raya pertama yang berfungsi menggunakan enjin pembakaran dalaman.
Kebanyakan struktur motosikal ini diperbuat daripada kayu, termasuk roda di mana ia menggunakan tayar besi berbanding tayar getah yang digunakan pada hari ini.
Daimler turut memfailkan paten untuk kenderaan tersebut pada 29 Ogos 1885, dengan menyifatkannya sebagai kenderaan yang dikuasakan oleh enjin petrol.
Selepas kejayaan awal, Daimler dan Maybach terus bergerak ke projek yang lebih besar.
Akhirnya pada tahun 1886, versi enjin yang dipertingkatkan dipasang pada kereta yang sebenar.
Enjin tersebut turut digunakan pada bot, menandakan permulaan cita-cita Daimler dalam dunia pengangkutan yang lebih luas.


































